75 peratus tidak puas hati pasaran hartanah

75 peratus tidak puas hati pasaran hartanah

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Kajian terkini PropertyGuru menunjukkan tiga daripada empat rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan pasaran hartanah semasa, antara sebabnya hartanah mahal dan kurang tindakan daripada kerajaan.

Kajian tersebut, yang dilaksanakan pada separuh pertama 2015, menunjukkan trend kepuasan berkurangan yang ketara daripada pembeli atau bakal pembeli.

Ia turut menunjukkan konsensus yang meningkat bahawa harga semua hartanah, tidak kira saiz, kelas atau lokasi, semakin tidak mampu dimiliki.

“Hanya 25 peratus daripada rakyat Malaysia berpuas hati dengan syarat-syarat umum pasaran hartanah, penurunan yang ketara berbanding 32 peratus dicatatkan dalam kajian sentimen pada tahun lepas,” menurut PropertyGuru dalam kenyataan hari ini.

Sebab utama yang dinyatakan ialah persepsi hartanah terlalu mahal (86 peratus), kenaikan harga yang pesat (61 peratus), ekonomi perlahan (57 peratus) dan keadaan hartanah tidak menentu (37 peratus).

Pengurus Negara Sheldon Fernandez berkata satu daripada setiap tiga responden menyatakan kesukaran untuk mendapatkan kelulusan pinjaman bank sebagai sebab utama mereka tidak berpuas hati.

Walaupun pelbagai skim kerajaan untuk menggalakkan pembelian hartanah domestik, 37 peratus daripada responden tidak memohon program sedemikian, manakala 36 peratus lagi menyatakan mereka tidak layak untuk bantuan tersebut. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA