75 peserta seminar terima sijil

75 peserta seminar terima sijil

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Feb – Seramai 75 orang peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan kementerian-kementerian, jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta serta Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menerima sijil masing-masing setelah menyertai Seminar Pengurusan Keselamatan Kebakaran 2016.

Penyampaian sijil pada majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, hari ini, telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Awang Yahya bin Haji Abdul Rahman selaku tetamu kehormat.

Seminar selama dua hari, bermula kelmarin, itu bermatlamat untuk meningkatkan lagi piawaian keselamatan kebakaran dalam bangunan.

Seminar itu menekankan perlunya penglibatan pengurus keselamatan kebakaran dalam membantu pemilik bangunan mencegah kerugian harta benda dan nyawa akibat daripada kebakaran.

Awang Yahya menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta seminar selama dua hari itu.
Awang Yahya menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta seminar selama dua hari itu.

Di samping itu, juga ditekankan perlunya mempunyai pelan keselamatan dengan menyatakan perancangan, organisasi, kawalan, pemantauan dan kajian semula langkah-langkah keselamatan kebakaran dan peruntukan keselamatan kebakaran di premis bangunan.

Seminar itu adalah selaras dengan salah satu pelan tindakan strategik Jabatan Bomba dan Penyelamat iaitu untuk mengurangkan kejadian kebakaran dan jumlah kerugian kebakaran setiap tahun.

Di samping itu, seminar itu juga diharap dapat memberikan pengetahuan kepada para peserta kursus mengenai tatacara melaksanakan, mengawal, memantau dan mengkaji keselamatan kebakaran, meningkatkan kesedaran individu supaya dapat mewujudkan pelan keselamatan bangunan yang mantap serta mengetahui bahawa sebarang pengubahsuaian terhadap bangunan boleh mendatangkan risiko jika tidak mengikut garis pandu dan piawaian.

ARTIKEL YANG SAMA