75 rekrut polis tamat latihan

75 rekrut polis tamat latihan

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Dis – Setelah menjalani latihan sejak April lalu, seramai 75 orang rekrut diraikan dalam Upacara Perbarisan Tamat Latihan Rekrut bagi APO OPSO Lelaki Skuad 1/2015 yang berlangsung di Padang Kawad, Pusat Latihan Polis, Gadong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat di upacara berkenaan ialah Pemangku Pengarah Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei, S/Supt Pengiran Haji Muhammad bin Pengiran Haji Metali. Turut hadir ialah Pemangku Komandan Pusat Latihan Polis, Supt Pengiran Zaidi bin Pengiran Haji Metali, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan anggota Polis lainnya serta ahli keluarga rekrut-rekrut yang diraikan.

Bagi 75 orang rekrut berkenaan iaitu 38 orang pelatih Polis Kelas A dan 37 orang pelatih polis Kelas B, upacara tamat latihan itu merupakan satu detik penuh bermakna bagi mereka kerana berkat sabar dan tabah dalam menempuh segala dugaan dalam latihan itu, mereka telah berjaya menjadi seorang anggota polis yang terlatih.

Muhammad Fadiul Bahrey menerima Sijil Terbaik Dalam Undang-undang dan Pekerjaan Polis yang disampaikan oleh Superitenden Kanan Pengiran Haji Muhammad.
Muhammad Fadiul Bahrey menerima Sijil Terbaik Dalam Undang-undang dan Pekerjaan Polis yang disampaikan oleh Superitenden Kanan Pengiran Haji Muhammad.
Penyampaian Sijil Terbaik Dalam Kawad dan Latihan Luar kepada Zulhilmi.
Penyampaian Sijil Terbaik Dalam Kawad dan Latihan Luar kepada Zulhilmi.
Tetamu kehormat menyampaikan Sijil Terbaik Dalam Semua Jurusan kepada Muhammad Fakhrudin.
Tetamu kehormat menyampaikan Sijil Terbaik Dalam Semua Jurusan kepada Muhammad Fakhrudin.

Di majlis berkenaan, S/Supt Pengiran Haji Muhammad telah memeriksa perbarisan dan menyempurnakan penyampaian sijil-sijil kepujian kepada rekrut-rekrut terbaik. Beliau menyampaikan Sijil Terbaik Dalam Semua Jurusan kepada Rekrut APO 7015 Muhammad Fakhrudin bin Maidin, Terbaik Dalam Undang-undang dan Pekerjaan polis kepada Rekrut APO 7013 Muhammad Fadiul Bahrey bin Bakri dan Terbaik Dalam Kawad dan Latihan Luar kepada Rekrut APO 7037 Zulhilmi bin Membeli.

Di majlis itu juga, beliau turut diperkenalkan kepada rekrut-rekrut yang berjaya menamatkan latihan serta bergambar ramai dengan rekrut-rekrut berkenaan.