76 pegawai terima sijil Program Pembangunan Eksekutif

76 pegawai terima sijil Program Pembangunan Eksekutif

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Seramai 76 orang pegawai kanan dan pegawai peringkat pertengahan telah diraikan di Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bagi Program Pembangunan Eksekutif Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) ke-23 dan Program Pembangunan Eksekutif Pegawai-pegawai Kerajaan Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) ke-22 dan ke-23, petang tadi.

Hadir menyempurnakan penyampaian sijil pada majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud.

Mereka yang diraikan itu terdiri daripada 27 orang peserta EDPSGO ke-23, 22 orang peserta EDPMMO ke-22 dan 27 orang peserta EDPMMO ke-23.

Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Haji Abdul Manap bin Othman dalam ucapannya menjelaskan, Program Pembangunan Eksekutif Perkhidmatan Awam bertujuan untuk menyediakan platform bagi peningkatan kemahiran kapasiti kepimpinan dan kewibawaan pegawai-pegawai kanan kerajaan serta pegawai-pegawai peringkat pertengahan dalam berbagai-bagai bidang melalui modul-modul yang berkaitan dengan hal ehwal dan isu-isu semasa yang relevan.

“Dengan pembangunan dan perkembangan ini, ianya akan mempertingkatkan lagi potensi pegawai-pegawai dalam berperanan sebagai nadi penjana, penggerak dan penyampai perkhidmatan awam yang lebih efisien, berkesan dan menepati sasaran.”

Dato Paduka Haji Mohd Roselan ketika bergambar ramai bersama para pegawai yang menyertai program-program berkenaan.
Dato Paduka Haji Mohd Roselan ketika bergambar ramai bersama para pegawai yang menyertai program-program berkenaan.
Antara para tetamu yang hadir pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil berkenaan.
Antara para tetamu yang hadir pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil berkenaan.

Program-program ini dijalankan dengan kerjasama Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), Universiti Brunei Darussalam yang mana ia telah dijalankan selama sembilan minggu untuk EDPSGO dan lapan minggu untuk EDPMMO.

Salah satu komponen dalam program EDPSGO adalah penempatan sementara selama dua minggu di agensi-agensi kerajaan untuk memberikan pemahaman lebih terperinci terhadap dasar-dasar dan peranan setiap agensi kerajaan yang di luar kementerian atau jabatan masing-masing.

Program EDPMMO pula merupakan latihan inovatif dan program pembangunan untuk menyediakan dan membekalkan peserta program dalam meningkatkan kepimpinan dan kemahiran pengurusan.

Antara objektif utama program ini adalah untuk membina pemahaman sesama mengenai senario global yang akan memberi impak kepada perkhidmatan dan pentadbiran awam dan isi kandungan program ini memuatkan isu-isu global dan isu-isu semasa.

Fasilitator yang mengendalikan modul-modul dalam program ini terdiri daripada pensyarah-pensyarah UBD dan pakar-pakar yang didatangkan dari luar negara.

Setakat ini, Program EDPSGO telah diadakan 23 kali dan seramai 472 telah pun mengikuti program tersebut, manakala Program EDPMMO telah diadakan sebanyak 23 kali dengan 539 orang pegawai telah mengikutinya.