77 anak yatim diraikan

77 anak yatim diraikan

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jun – Bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam (JPI) telah meraikan seramai 77 orang anak yatim majlis berbuka puasa di restoran hotel berkenaan, semalam.

Selain menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan, anak-anak yatim berusia enam hingga 12 tahun dari 13 buah sekolah agama di Daerah Brunei dan Muara itu turut dihiburkan dengan persembahan tausyeh.

Jurucakap JPI ketika ditemui telah menyampaikan rasa penghargaan pihak mereka atas kepercayaan Rizqun untuk mengadakan majlis yang sama buat kali kedua.

Jelasnya lagi, pada tahun ini, ia diadakan dalam jumlah yang lebih besar dengan menjemput anak-anak yatim dari lima kawasan Daerah Brunei dan Muara berbanding tahun sebelumnya yang hanya menjemput dari satu kawasan sahaja.

Gambar ramai anak-anak yatim dari 13 buah sekolah agama di Daerah Brunei Muara gembira menikmati juadah berbuka puasa di Rizqun Coffee House, Gadong.
Gambar ramai anak-anak yatim dari 13 buah sekolah agama di Daerah Brunei Muara gembira menikmati juadah berbuka puasa di Rizqun Coffee House, Gadong.

Dalam pada itu, sepanjang bulan Ramadan ini, Rizqun Coffee House turut menyediakan Bufet Ramadan Kareem yang menyajikan pelbagai juadah seperti bubur kacang, roti canai, nasi, mi goreng, ayam goreng, daging, sate, kuih-muih, buah-buahan dan hidangan pencuci mulut.

Sepanjang Ramadan ini juga, pelanggan Rizqun Coffee House juga akan dihiburkan dengan persembahan Tausyeh oleh Persatuan Tausyeh Brunei sebelum bersungkai.

Di samping itu, para pelanggan juga berpeluang untuk memenangi baucar penginapan di bilik Deluxe Hotel Antarabangsa Rizqun termasuk sarapan pagi bagi dua orang dalam cabutan mingguan dan tiket umrah untuk dua orang sebagai cabutan utama nanti.

ARTIKEL YANG SAMA