78 guru tamat kursus Tekwando

78 guru tamat kursus Tekwando

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Seramai 78 orang guru telah berjaya menamatkan Kursus Pengenalan Asas Taekwando bagi Guru-Guru Sekolah Rendah dan Menengah Daerah Brunei Muara Negara Brunei Darussalam 2015 yang telah mereka sertai selama empat hari.

Sehubungan dengan itu, mereka telah berkesempatan untuk mempersembahkan apa yang telah mereka pelajari di sepanjang kursus di hari penutup kursus sebelum menerima sijil mereka masing-masing.

Hadir ke Kompleks Sukan Menglait, Gadong menyaksikan persembahan para peserta kursus dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada mereka ialah Pemangku Penolong Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Roslin bin Suhailee.

Hari penutup itu turut diisi dengan ucapan alu-aluan dari Pegawai Pelajaran Kanan, Ketua Unit Jasmani, Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan, Pengiran Jusri bin Pengiran haji Hassim dan persembahan taekwando dari Kelab Dynamic dan persembahan taekwando aerobik dari Persatuan Taekwando Brunei Darussalam.

Kursus bermatlamat untuk mencungkil bakat baru di kalangan guru dan pelajar bagi mewakili sekolah, majlis sukan sekolah dan negara dalam acara taekwando itu telah dimudahcara oleh Jurulatih Junior Kebangsaan, Dayang Nurul Hannah binti Abdullah Mateen Kim dan tiga jurulatih dari Kementerian Pendidikan.

Para peserta Kursus Asas Pengenalan Taekwando bersama ahli Persatuan Taekwando Brunei Darussalam, AJK Kursus dan tetamu kehormat.
Para peserta Kursus Asas Pengenalan Taekwando bersama ahli Persatuan Taekwando Brunei Darussalam, AJK Kursus dan tetamu kehormat.

Jurulatih dari Kementerian Pendidikan itu ialah Timbalan Presiden Persatuan Taekwando Brunei Darusalam, Awang Bahrin bin Haji Abdul Rahman, Awang Asmawi bin Haji Ibrahim dan Dayang Hajah Hazrina binti Haji Abdul Jalil.

Kursus empat hari di Kompleks Sukan Menglait, Gadong pada 25-28 Mei itu dianjurkan oleh JPKK, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Persatuan Taekwando Brunei Darussalam.

Antara lain tujuan kursus diadakan adalah untuk memperkenalkan dan memperkembangkan sukan seni bela diri taekwando kepada guru-guru sekolah rendah dan menengah/maktab di negara ini melalui guru pendidikan jasmani dan jurulatih sukan.

Kursus turut bertujuan untuk melahirkan generasi yang berwibawa, berdisiplin, bersemangat, berwawasan dan tahan lasak di samping menyemai sifat-sifat dan nilai-nilai murni dan luhur untuk membolehkan guru-guru menimba ilmu pengetahuan dan mempelajari kemahiran-kemahiran asas dan mengembangkannya demi untuk mencapai kecemerlangan.

Sukan yang berbentuk riadah itu secara langsung dapat memupuk peserta mengamalkan cara hidup sihat dan mempunyai semangat berpasukan serta berdisiplin tanpa mengira umur, bangsa dan agama semasa beriadah.

Tujuan kursus juga adalah untuk melahirkan guru yang dapat merancang program-program riadah yang sihat, bermanfaat serta selamat dalam menjalani cara hidup yang sihat dan juga sebagai salah satu aktiviti Unit Jasmani, JPKK bagi memperkembangkan sukan di negara ini.