79 kemalangan dalam seminggu

79 kemalangan dalam seminggu

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Sebanyak 79 kemalangan jalan raya telah direkodkan oleh Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei bagi minggu ketiga (15-21 Mei) bulan ini.

Menurut Statistik Kemalangan Jalan Raya yang dikeluarkan oleh JSKLL, hari ini, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 54 kes dicatatkan di Daerah Brunei dan Muara, lima di Daerah Tutong, 20 lagi di Daerah Belait, manakala tiada kemalangan dilaporkan di Daerah Temburong dalam tempoh berkenaan.

Daripada jumlah itu juga, lima kes melibatkan langgar lari kereta, satu kes di antara kereta dan jentera berat, dan selebihnya kemalangan melibatkan kereta dengan kereta atau kemalangan sendiri, yang mana kesemua kes tidak melibatkan kematian.

Dalam pada itu, JSKLL juga telah merekodkan sebanyak 195 kes atas pelbagai kesalahan dalam operasi dan rondaan penguatkuasaan lalu lintas sepanjang minggu ketiga Mei.

Daripada jumlah yang direkodkan itu, sebanyak 175 dicatatkan oleh JSKLL, Gadong dan 20 lagi oleh JSKLL cawangan Batu 3, Belait.

Laporan Hasil Penguatkuasaan Lalu Lintas bagi minggu ini, yang dikeluarkan JSKLL menunjukkan bahawa 34 daripadanya adalah kes doket dan selebihnya adalah kes kompaun, dengan kesalahan memandu melebihi had laju yang ditetapkan paling tinggi dicatatkan iaitu sebanyak 41 kes.

Sehubungan dengan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas di negara ini, dan sentiasa meningkatkan keselamatan serta berhati-hati ketika berada di jalan raya terutama sekali dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya akan memandu dengan berhati-hati dan berwaspada serta mematuhi peraturan lalu lintas yang dikuatkuasakan bagi memastikan kemalangan dapat dielakkan.

ARTIKEL YANG SAMA