79% lihat diri sebagai kelas pertengahan

79% lihat diri sebagai kelas pertengahan

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) – Sebanyak 79 peratus rakyat Malaysia melihat diri mereka sebagai kumpulan kelas pertengahan, berbanding 46 peratus berdasarkan pendapatan isi rumah bulanan sebenar, kata Hakuhodo Institute of Life and Living ASEAN (HILL ASEAN).

Kumpulan pemikir itu yang ditubuhkan pada 2014 oleh syarikat pengiklanan kedua terbesar Jepun, Hakuhodo Inc, hari ini mengumumkan hasil daripada penyelidikan terbaharunya, di sini.

Hasil penyelidikannya mendapati sebahagian besar rakyat Malaysia dan ASEAN mengenal pasti diri mereka sendiri sebagai kumpulan kelas pertengahan tanpa mengambil kira pendapatan sebenar mereka, menunjukkan bahawa pentakrifan semula ‘kelas pertengahan’ mungkin diperlukan.

Pengurus Perancangan Strategik HILL ASEAN Ann Liew dalam pembentangannya berkata laporan itu menunjukkan kemunculan ‘pertengahan tanpa had’ satu kumpulan yang bijak mencari cara untuk menjalani hidup mengikut gaya hidup yang mereka hajati dengan menyesuaikan pendapatan dan perbelanjaan tanpa had, tidak terikat dengan tahap pendapatan semasa mereka.

“Mereka berbuat demikian dengan meningkatkan sumber pendapatan mereka dengan bekerja sampingan, manakala masih mengekalkan pekerjaan sepenuh masa, sebagai contoh, seorang pakar kecantikan di Malaysia menggunakan media sosial sebagai platform untuk meningkatkan pendapatan.

“Beliau membeli pakaian dan barangan kecantikan semasa berkunjung ke luar negara dan kemudiannya menjual barangan tersebut di media sosial,” kata Liew pada forum “Sei-Katsu-Sha” ASEAN di sini pada Jumaat yang menumpukan kepada perspektif baharu mengenai kelas pertengahan ASEAN.

Golongan ‘pertengahan tanpa had’ ini juga mengawal perbelanjaan mereka, sebagai contoh menyimpan stok kopi bertin apabila terdapat jualan murah dan memperuntukkan perbelanjaan untuk pendapatan masa depan, sebagai contoh melabur dalam generasi akan datang dengan menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa agar mereka kelak boleh bekerja di luar negara pada masa hadapan.