79 terima surat lantikan

79 terima surat lantikan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mei – Hubungan akrab antara ahli-ahli pengawasan kejiranan dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) diharap dapat diteruskan dan dipertingkatkan di mana menerusi kerjasama itu, ia dapat membantu mengurangkan kejadian jenayah di kawasan tadahan masing-masing.

Kewujudan ahli-ahli pengawasan kejiranan menunjukkan impak positif kepada kawasan tadahan mereka terutama dalam membantu pihak PDB Brunei dalam membendung kes-kes jenayah di kawasan-kawasan berkenaan.

Statistik Pasukan Polis Diraja Brunei menunjukkan terdapat penurunan kadar jenayah di mukim-mukim di bawah jagaan Balai Polis Pusat sebanyak tiga bulan berturut-turut iaitu dari Januari hingga Mac.

Statistik menunjukkan pada Januari lalu dilaporkan terdapat sebanyak 137 kes jenayah, yang menurun kepada sebanyak 106 kes pada Februari dan menurun lagi ke sebanyak 95 kes jenayah pada Mac lalu.

Perkembangan positif pengawasan kejiranan dan statistik itu dikongsi oleh Pemangku OCS Bandar Seri Begawan, P/ASP Mohd ‘Izzuddin Hanis bin Haji Mohd Salleh semasa Majlis Penyampaian Surat Lantikan bagi Ahli Pengawasan Kejiranan bagi Mukim Gadong ‘A’ dan Mukim Gadong ‘B’ yang berlangsung di Dewan Pusat Latihan Polis, Gadong, hari ini.

pg09_160514_b

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada ahli-ahli pengawasan kejiranan pada majlis berkenaan ialah Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei dan Muara, Superintenden Kanan Husaini bin Haji Matzin.

Turut hadir ialah Penghulu Mukim Gadong ‘A’, Yang Berhormat Haji Tahamit bin Haji Nudin, pegawai-pegawai kanan polis serta para ahli pengawasan kejiranan yang diraikan.

P/ASP Mohd ‘Izzuddin menjelaskan bahawa pengawasan kejiranan bagi Negara Brunei Darussalam telah dimulakan sejak 1 Oktober 2014 yang mana sehingga sekarang seramai 899 orang ahli pengawasan kejiranan telah terdaftar di Daerah Brunei dan Muara dan seramai 233 orang ahli pengawasan kejiranan berkenaan terdaftar di bawah jagaan Balai Polis Pusat.

Pada majlis berkenaan, seramai 79 orang ahli pengawasan kejiranan menerima surat lantikan mereka iaitu bagi Mukim Gadong ‘A’ terdiri daripada ahli-ahli dari Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Rimba dan Kawasan 1 Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Tungku dan bagi Mukim Gadong ‘B’ terdiri dari Kampung Kiulap, Kampung Menglait, Kampung Pengkalan Gadong dan Kampung Mata-Mata.

ARTIKEL YANG SAMA