8.5% perokok remaja

8.5% perokok remaja

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Berdasarkan Kaji Selidik Tembakau Belia Sedunia (GYTS) 2013 oleh Pusat Promosi Kesihatan, 15.2 peratus rakyat negara ini perokok dan daripada jumlah itu, 8.5 peratus merupakan remaja yang berusia di antara 13 hingga 15 tahun.

Berdasarkan data itu, 13.4 peratus adalah lelaki dan 3.4 peratus lagi perempuan, dan apa yang menyedihkan, kaji selidik di lebih 20 buah sekolah seluruh negara menunjukkan bahawa 17.6 peratus pelajar Tahun 11 adalah perokok, 11.2 peratus pelajar Tahun 10, 11.6 peratus Tahun 9 dan 6.7 peratus lagi adalah pelajar Tahun 8.

Statistik ini dikongsi oleh Jururawat Pusat Promosi Kesihatan, Dayangku Norzafifah @ Nor Fadilah binti Pengiran Asamadi semasa Bengkel Berhenti Merokok di Sekolah Menengah Sayidina Hussain, Jerudong, hari ini.

Menurut beliau, 50 peratus daripada perokok yang disoal selidik mula merokok pada usia remaja dan terus merokok dalam tempoh 15 hingga 20 tahun seterusnya dan ini adalah suatu yang membimbangkan.

“Lebih menakutkan adalah kesan sampingan tabiat buruk ini, kerana hanya tiga peratus daripada perokok tidak mempunyai tanda sebarang penyakit namun semua perokok akan pasti mengalami Arteriosklerosis,” ujarnya di hadapan 35 pelajar Tahun 9 hingga 11 sekolah berkenaan.

Antara mereka yang menghadiri Bengkel Berhenti Merokok.
Antara mereka yang menghadiri Bengkel Berhenti Merokok.

Dalam bengkel itu, beliau turut mendedahkan kaedah dan langkah untuk menyedari kesan negatif daripada tabiat merokok dan juga langkah wajar bagi memberhentikan diri daripada terus menghisap bahan beracun di dalam setiap batang rokok.

Antara fakta menakutkan dalam tabiat buruk ini adalah setiap kali perokok menyedut asap rokok, tanpa disedari suhu asap yang dihisap boleh mencecah 90 darjah Celsius dan ia secara tidak langsung membakar paru-paru.

Menurut kenyataan penganjur, bengkel berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran para pelajar mengenai bahaya rokok dan merupakan usaha pihak sekolah untuk membantu para pelajar berhenti daripada terus terjerumus sejak tahun lalu lagi.

Bengkel anjuran Jawatankuasa Hal Ehwal Pelajar sekolah berkenaan, akan berlangsung sehingga esok, yang akan menyentuh mengenai tabiat dan kesan menghisap rokok elektronik atau dikenali dengan nama “Vape” oleh generasi masa kini.

ARTIKEL YANG SAMA