8 anggota polis terkorban dalam serangan di Kaherah

8 anggota polis terkorban dalam serangan di Kaherah

KAHERAH, 8 Mei (AFP) – Lelaki bersenjata menembak mati lapan polis Mesir yang berpakaian biasa di daerah Helwan di selatan Kaherah, kata kementerian dalam negeri hari ini.

Polis berkenaan sedang membuat perjalanan menggunakan van mini apabila penyerang dalam trak menyekat jalan mereka dan menembak kenderaan dengan senapang automatik, kata kementerian.

Pejuang jihad, termasuk militan kumpulan IS, telah membunuh ratusan polis dan tentera dalam serangan, kebanyakannya di Semenanjung Sinai dan juga di sekitar Kaherah.

Geng penjenayah Mesir juga telah membunuh polis dalam kejadian tembak-menembak, tetapi serangan tersebut menandakan ciri-ciri pejuang jihad yang telah melancarkan pemberontakan sejak tentera mengguling presiden Islam Mohamed Morsi pada 2013.

Kementerian dalam negeri berkata mereka yang terbunuh termasuk seorang leftenan dan tujuh polis berpangkat rendah yang sedang meronda kawasan di selatan ibu negeri apabila mereka diserang hendap pada lewat malam.

Keadaan van yang diserang oleh kumpulan pengganas. – AP
Keadaan van yang diserang oleh kumpulan pengganas. – AP

Militan telah menyerang sebelumnya di Helwan, membunuh seorang polis yang mengawal di luar sebuah muzium pada Jun 2015.

Pejuang jihad, yang berpangkalan di Semenanjung Sinai bersempadan dengan Israel dan Semenanjung Gaza di Palestin, telah berkali-kali cuba menembusi ibu negara, di mana polis mencatat lebih banyak kejayaan dalam menumpaskan mereka berbanding di Sinai.

Mereka telah mendakwa melancarkan beberapa serangan di Kaherah, termasuk satu percubaan membunuh seorang menteri dalam negeri pada akhir 2013 dan pengeboman pejabat konsul Itali pada Julai 2015.

Terbaru ini, militan telah melancarkan serangan langgar dan lari ke atas polis di Kaherah dan pengeboman kecil-kecilan.

Mereka sering mendakwa serangan mereka adalah sebagai tindak balas terhadap tindakan keras polis ke atas penyokong Morsi, yang telah membunuh ratusan pembantah dan memenjarakan beribu-ribu yang lain.

ARTIKEL YANG SAMA