8 artis muda berlepas ke Seoul

8 artis muda berlepas ke Seoul

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Dengan hasrat untuk meningkatkan pendedahan kepada pelbagai aspek bidang seni, rombongan seramai lapan peserta negara berlepas ke Seoul, Korea Selatan untuk menyertai Program ROK-ASEAN Young Artists’ Network for Exchange-Creation-Diffusion-Official Camp yang berlangsung dari 1 hingga 15 Ogos.

Rombongan Negara Brunei Darussalam itu terdiri daripada artis-artis muda tempatan dalam pelbagai bidang seni tradisional dan kontemporari dengan diketuai oleh Pengiran Mohd Fauzie bin Pengiran Zainal Abidin.

Rombongan yang dihantar oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi menyertai program anjuran Korean National University of Arts, Seoul itu akan berada di Korea Selatan selama dua minggu di mana ia mengetengahkan tiga genre seni iaitu seni muzik, seni persembahan dan seni visual.

Pengiran Mohd Fauzie dalam temu bual ringkas bersama Media Permata di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, berkata melalui penyertaan dalam program itu, ia akan memberikan pendedahan kepada artis-artis muda dan berbakat tempatan kepada suasana seni di Korea dan juga mampu berkongsi ilmu pengetahuan dengan para peserta program bukan sahaja dari Korea Selatan tetapi juga negara-negara ASEAN yang lain.

Rombongan artis tempatan yang diketuai oleh Pengiran Mohd Fauzie bergambar ramai sebelum berlepas ke Seoul, Korea Selatan.
Rombongan artis tempatan yang diketuai oleh Pengiran Mohd Fauzie bergambar ramai sebelum berlepas ke Seoul, Korea Selatan.

Beliau menambah, melalui pendedahan itu, ia memberikan peluang kepada artis muda tempatan untuk meningkatkan lagi kemahiran dan mengasah bakat mereka dalam bidang seni masing-masing supaya mampu menonjol dan mengembangkan lagi industri seni tempatan.

Sepanjang program itu, para peserta akan terlibat dalam pelbagai kegiatan termasuk bengkel, pembentang karya seni dan persembahan yang melibatkan kerjasama peserta-peserta dari negara-negara ASEAN yang lain.