8 bertanding KKC Jabatan Ukur

8 bertanding KKC Jabatan Ukur

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jun – Sebanyak lapan buah pasukan bertanding dalam Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) Jabatan Ukur bagi sesi 2015/2016 yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan hari ini.

Pemangku Juruukur Agung, Dr. Hajah Mas Suriaia Wati binti Haji Abdul Hamid semasa menyampaikan ucapan pada majlis itu menekankan supaya jangan berpuas dengan pencapaian yang telah dicapai pada tahun sebelumnya kerana masih terdapat kelemahan terutama dalam mengemukakan penyelesaian yang kreatif dan pemikiran ‘out-of-the-box’.

Beliau turut melahirkan perasaan berbangga dengan pencapaian jabatan di mana pada Hari Perkhidmatan Awam 2015, jabatan berkenaan telah mendapat Anugerah Khas KKC 2015 dan kejayaan yang sama juga diperoleh pada tahun 2014 dan 2012.

Menurut beliau, kesemua kejayaan yang diperolehi ini merupakan hasil usaha peserta KKC dalam membudayakannya sebagai alat penyelesaian masalah di Jabatan Ukur.

Bimbingan dan pemantauan daripada fasilitator kumpulan, jelasnya, memainkan peranan penting ke arah usaha ini dan percaya dengan penglibatan yang lebih aktif daripada fasilitator kumpulan, kumpulan KKC dapat menghasilkan penyelesaian yang lebih kreatif, inovatif dan out of the box.

Antara yang hadir pada konvensyen KKC Jabatan Ukur.
Antara yang hadir pada konvensyen KKC Jabatan Ukur.
Dr. Hajah Mas Suriaia Wati ketika menyampaikan ucapan pada majlis itu.
Dr. Hajah Mas Suriaia Wati ketika menyampaikan ucapan pada majlis itu.
Antara salah satu kumpulan ketika membentangkan projek mereka.
Antara salah satu kumpulan ketika membentangkan projek mereka.

Beliau seterusnya menekankan, usaha kumpulan tidak berhenti setakat di peringkat jabatan, kementerian atau kebangsaan, projek yang telah selesai perlu dipantau secara berterusan bagi memastikan apa-apa yang telah diketengahkan dalam konvensyen itu bukan untuk pertandingan saja.

“Ia perlu terus dijalankan dan jika tidak bersesuaian lagi, ia perlu diteliti semula dan tidak mahu kumpulan berhenti selepas konvensyen di mana kumpulan dan tajuk projek KKC hanya tinggal nama saja,” tegasnya.

Sehubungan itu, tambahnya, kumpulan yang kurang berjaya dinasihatkan untuk meneliti semula penggunaan alat KKC dan memperbaiki untuk ke peringkat seterusnya dan percaya usaha berterusan yang dibuat akan mencapai kejayaan.

Dalam pertandingan itu, tiada kumpulan yang berjaya mendapat pingat emas dan perak, dan tiga kumpulan telah mendapat pingat gangsa iaitu Kumpulan PGS1516 dari Bahagian Pemetaan Geospatial dengan markah 56.19 peratus, Kumpulan TOCAD dari Bahagian Perundangan Kadaster dengan markah 52.74 peratus dan Kumpulan TBT15 yang terdiri daripada kakitangan gabungan cawangan Daerah Tutong, Belait dan Temburong dengan markah 51.85 peratus.

Hadiah-hadiah kepada kumpulan yang berjaya telah disampaikan oleh Dr. Hajah Mas Suriaia Wati.

ARTIKEL YANG SAMA