8 cedera letupan gas LPG di Mid Valley

8 cedera letupan gas LPG di Mid Valley

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) – Dua letupan berlaku di dua restoran di pusat beli-belah Mid Valley di sini, hari ini dipercayai berpunca daripada sistem gas asli cecair (LPG) mengakibatkan lapan orang mengalami kecederaan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata letupan berlaku di restoran Chili’s Grill & Bar dan McDonald’s kira-kira 10 pagi tadi.

“Letupan mengakibatkan enam orang cedera ringan dan dua kontraktor penyelenggaraan Mid Valley cedera di muka,” katanya ketika ditemui pemberita sambil menambah kedua-dua restoran ditutup untuk siasatan.

Beliau berkata kesemua mereka dihantar ke Hospital Pantai di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mengulas lanjut, beliau berkata letupan berpunca daripada aktiviti penyelenggaraan yang dilakukan kontraktor pusat beli-belah itu terhadap saluran penyambungan gas memasak LPG yang dibaik pulih semalam.

Keadaan restoran yang mengalami kerosakan akibat letupan kecil disebabkan kerja baik pulih cecair petroleum gas (LPG) di pusat beli-belah Mid Valley Megamall, pagi kelmarin. – Bernama
Keadaan restoran yang mengalami kerosakan akibat letupan kecil disebabkan kerja baik pulih cecair petroleum gas (LPG) di pusat beli-belah Mid Valley Megamall, pagi kelmarin. – Bernama

Dalam pada itu, seorang daripada pekerja restoran Chili’s yang hanya dikenali sebagai Malika, 53, berkata siling di bahagian dapur runtuh sebaik sahaja berlakunya letupan.

“Siling yang jatuh terkena sedikit bahagian kepala, namun saya hanya mengalami luka kecil,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, jurucakap Mid Valley Megamall, IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT) berkata pusat beli-belah itu beroperasi seperti biasa dan dibuka kepada pengunjung.

Pengurus pelaburan Mega-mall berkata semua sistem LPG yang menyebabkan insiden itu, telah ditutup sehingga menerima arahan selanjutnya.

“Kami bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan,” kata syarikat itu dalam kenyataan di sini hari ini.

IGB Reit berkata mangsa yang cedera membabitkan pekerja penyelenggaraan syarikat itu, kontraktor LPG dan kakitangan penyewa, dan insiden letupan itu juga tidak membabitkan kecederaan kepada orang awam.Syarikat itu berkata keselamatan kekal menjadi keutamaan mereka.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA