8 cedera letupan premis hiburan

8 cedera letupan premis hiburan

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) – Kejutan ulang tahun perkahwinan kedua buat seorang wanita berakhir dengan tragedi apabila beliau dan suaminya serta enam yang lain cedera dalam insiden letupan bom di sebuah premis hiburan di Puchong dekat sini, awal pagi tadi.

Bavani dan suaminya S.Jaiseelan, kedua-duanya berusia 32 tahun, kini dirawat di sebuah hospital swasta kerana kecederaan parah.

Adik lelaki Jaiseelan, S.Kavilan, berkata abangnya dimasukkan ke Unit Dependensi Tinggi hospital itu akibat cedera parah di bahagian leher dan kakinya, manakala kakak iparnya akan dibedah petang ini setelah satu daripada pergelangan tangannya retak.

“Saya bersama-sama abang dan kakak ipar semalam sebab abang ajak saya sambut ulang tahun mereka, tetapi saya pulang awal.

“Abang saya berhasrat buat kejutan untuk isterinya dan pub ini adalah tempat yang isterinya mahu pergi. Jadi, semalam buat kali pertamanya mereka mengunjungi pub ini…tak sangka jadi begini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.

Anggota forensik Malaysia memeriksa tapak serangan bom tangan di sebuah restoran di daerah Puchong luar Kuala Lumpur pada 28 Jun. – AFP
Anggota forensik Malaysia memeriksa tapak serangan bom tangan di sebuah restoran di daerah Puchong luar Kuala Lumpur pada 28 Jun. – AFP

Letupan itu, yang dipercayai berpunca daripada bom tangan, berlaku kira-kira 2:15 pagi ketika pengunjung premis hiburan itu sedang menyaksikan perlawanan bola sepak Euro 2016.

Akibat letupan itu, empat lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang wanita warga China cedera.

Kavilan, 27, berkata beliau, abangnya yang bekerja sebagai pemandu peribadi, dan kakak iparnya berada di premis hiburan itu sejak 12 malam tadi sebelum beliau meninggalkan premis itu kira-kira 30 minit sebelum kejadian.

“Abang saya baru sahaja menjalani prosedur angiogram bagi rawatan jantungnya. Beliau mengambil ubat cairkan darah jadi, bila badannya luka, darah susah berhenti…sebab itu, keadaannya teruk sedikit.

“Sepatutnya, hari ini abang ada temu janji susulan dia dengan doktor,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa lelaki yang enggan dikenali berkata ketika letupan itu berlaku, boleh dikatakan semua pengunjung yang ada di dalam premis terpelanting.

“Telinga saya pun pekak sekejap. Lepas beberapa jam baru saya okey. Dua kawan saya cedera ringan dan sudah mendapatkan rawatan,” katanya yang berada di premis itu bersama-sama empat rakannya semasa kejadian itu.

Kereta miliknya, yang diparkir kira-kira 30 meter dari premis itu, turut rosak dengan cermin tingkap di bahagian pemandu pecah.

Bagaimanapun, katanya beliau dan rakan-rakannya tidak melihat suspek.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar ketika ditemui menafikan insiden itu berkaitan serangan pengganas.

“Kita akan menyiasat sama ada ia bermotifkan musuh perniagaan, dendam atau mangsa merupakan sasaran orang yang melakukan kejadian itu,” katanya.

Abdul Rahim berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Menurutnya lima daripada mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan manakala tiga lagi dihantar ke Hospital Sunway.