8 cedera pusat karaoke terbakar

8 cedera pusat karaoke terbakar

JAKARTA, 15 Okt – Dua parah manakala enam lagi cedera apabila sebuah pusat karaoke di tingkat 14 bangunan Sarinah di Jalan Thamrin di sini terbakar.

Menurut portal-portal berita hari ini, dalam kejadian pukul 10.40 pagi itu, kesemua yang cedera adalah pekerja Karaoke Masterpiece yang dimiliki artis tempatan terkenal, Ahmad Dhani.

Pengarah Syarikat Sarinah Persero, Ira Puspa Dewi dipetik sebagai berkata dua pekerja lelaki karaoke itu melecur sehingga 80 peratus dan dimasukkan ke Pusat Rawatan Rapi Hospital Abdi Waluyu di sini manakala enam lagi yang cedera dimasukkan ke wad biasa.

Media-media tempatan juga memetik jurucakap polis Jakarta Pusat sebagai berkata dua lelaki yang parah itu dikenali sebagai Hery dan Syaipul dan bekerja sebagai tukang masak di pusat karaoke itu.

Bangunan Sarinah adalah sebuah kompleks beli-belah dan pejabat syarikat swasta setinggi 14 tingkat dan kebakaran yang dapat dipadam beberapa jam kemudian itu mengakibatkan kesesakan yang teruk di pusat bandar sehingga lewat petang.

Jurucakap bomba berkata sebanyak 21 buah kenderaan pemadam api dikejarkan ke tempat kejadian dan api padam sepenuhnya pada pukul 2 petang. – Bernama