8 cedera, rumah musnah gempa bumi landa Indonesia

8 cedera, rumah musnah gempa bumi landa Indonesia

JAKARTA, 17 Jan – Seramai lapan orang cedera dan kira-kira 120 buah rumah musnah apabila gempa bumi berukuran 5.5 magnitud menggegarkan kawasan terpencil timur Indonesia hari ini, menurut pegawai kerajaan.

Gempa bumi melanda pada kedalaman 46 kilometer pada jam 8:22 pagi waktu tempatan (2322 GMT Sabtu) di Laut Banda berhampiran pulau Maluku, menurut Tinjauan Geologi Amerika Syarikat.

Manakala itu, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi sederhana berukuran 5.6 pada skala Richter telah berlaku di Seram, Indonesia pada 7.22 pagi tadi dengan lokasi kejadian gempa adalah 116 kilometer (km) barat daya Ambon, Indonesia dan 1,344 km tenggara Semporna, Sabah.

Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Indonesia mengatakan tidak ada tsunami, namun gempa bumi itu mengakibatkan kecederaan dan kemusnahan di pulau-pulau kecil berhampiran. Tidak ada kematian dilaporkan.

“Menurut laporan awal yang kami terima, impak gempa bumi itu dapat dirasai di dua buah kampung di pulau Ambalau,” kata jurucakap agensi, Sutopo Purwo Nugroho.

Indonesia yang sering terdedah pada gempa bumi terletak di sepanjang ‘Lingkaran Api’ Pasifik, tempat plat tektonik berlanggar dan menyebabkan sering berlakunya seismik dan aktiviti gunung berapi.

Gempa bumi bawah laut besar di Lautan India pada 2004 mencetuskan tsunami yang membanjiri sebahagian besar wilayah Aceh di pulau Sumatera, Indonesia.

Tsunami membunuh lebih 170,000 orang di Indonesia dan puluhan ribu lagi di negara-negara lain di sekeliling Lautan India. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA