8 didenda merokok di sebuah kafe

8 didenda merokok di sebuah kafe

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Seramai empat lelaki dan empat wanita berumur antara 18 hingga 33 tahun telah dikenakan denda kompaun sebanyak $300 setiap seorang dalam satu operasi penguatkuasaan Perintah Tembakau 2005 ke atas sebuah kafe di Beribi, baru-baru ini.

Operasi berkenaan yang telah dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan telah mendapati kelapan-lapan pesalah tersebut melakukan kesalahan di bawah Bab 14 Perintah Tembakau 2005 iaitu merokok di tempat tegahan merokok menurut undang-undang.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan hari ini berkata, sejak awal tahun ini sehingga hujung bulan Jun, seramai 132 orang telah dikenakan kompaun atas kesalahan merokok di tempat-tempat yang ditegah, manakala empat pengurus restoran pula telah dikenakan kompaun atas kesalahan di bawah Bab 16 Perintah Tembakau 2005.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai bahawa merokok termasuk menyedut E-cigarette adalah dilarang di mana-mana tempat bangunan awam seperti restoran, kedai makan/minum atau kafe termasuk kawasan makan yang disediakan di bahagian luar bangunan sepertimana yang telah ditetapkan di dalam Perintah Tembakau 2005 – Pemberitahuan Tembakau (Larangan Di Tempat-tempat Tertentu) (Pindaan), 2012.

Menurut kenyataan itu lagi, menghisap E-cigarette adalah termasuk di dalam definasi ‘merokok’ di bawah Perintah Tembakau 2005.

Selain itu, pengurus mana-mana restoran, kedai makan/minum atau kafe yang gagal atau lalai daripada mematuhi Perintah Tembakau 2005 dan membiarkan pelanggan-pelanggannya merokok di premis perniagaannya tanpa melakukan tanggungjawabnya sepertimana yang dikehendaki di bawah Bab 16 Perintah Tembakau 2005, adalah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan kompaun sebanyak $500.

Orang awam disarankan mengambil perhatian serius ke atas larangan merokok di tempat-tempat awam dan mematuhi perundangan yang telah pun berkuat kuasa sejak tahun 2008.

Orang awam terutama para perokok juga diingatkan tentang bahaya dan risiko merokok ke atas kesihatan yang telah pun dikenal pasti sebagai penyebab utama pelbagai penyakit seperti kanser, jantung, paru-paru dan lain-lain.

Kenyataan itu berkata, kajian ke atas asap rokok mendapati bahawa ia mengandungi tiga kali ganda tar, tiga kali ganda nikotina dan lima kali ganda karbon monoksida berbanding dengan asap rokok yang dihisap oleh perokok.

Asap rokok juga diketahui mengandungi lebih 4,000 bahan kimia (250 darinya adalah bahan kimia merbahaya dan lebih dari 50 adalah bahan penyebab kanser) dan jika dihidu oleh mereka yang bukan perokok, juga boleh menyebabkan penyakit-penyakit yang sama seperti yang dihidap oleh perokok.

Penggunaan E-cigarette pula mempunyai risikonya tersendiri yang berpotensi untuk meningkatkan lagi masalah ketagihan nikotina di kalangan perokok jika pengguna tidak mampu mengawal penggunaan cecair nikotina atau E-liquid.

Selain itu, penyedutan wap nikotina yang kronik berpotensi untuk mempengaruhi perkembangan otak terutama sekali bagi kanak-kanak, wanita hamil dan wanita amnya.

Cecair nikotina atau E-liquid yang digunakan bersama E-cigarette adalah bahan yang bertoksik jika ditelan.

Ini menimbulkan risiko keracunan akibat pengambilan E-liquid secara tidak sengaja oleh kanak-kanak yang tertarik dengan bau manis dan warnanya.

Cecair nikotina ini juga boleh meresap masuk ke dalam badan melalui kulit. Penyediaan E-liquid pada lazimnya dibuat dalam bahan kimia propylene glycol, yang boleh merengsakan (irritate) mata dan sistem pernafasan bila ia menjadi wap.

Wap yang dihasilkan oleh E-cigarette pula mempunyai partikel halus yang boleh masuk ke dalam paru-paru, dan mengandungi bahan karsinogenik (bahan-bahan yang boleh menyebabkan kanser) seperti formaldehyde, heavy metal (kromium dan nikel) dan bahan kimia lain yang boleh merosakkan sel-sel dalam badan.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan sekali lagi menekankan agar para perokok dan pengguna E-cigarette memberhentikan dengan serta merta tabiat merokok, bukan sahaja untuk melindungi dan memelihara kesihatan diri sendiri khususnya, malahan juga pada ahli keluarga dan juga masyarakat sekeliling amnya dari gejala-gejala akibat penggunaan tembakau yang sudah terbukti mendatangkan mudarat serta merupakan faktor risiko besar kepada penyakit-penyakit tidak berjangkit.

ARTIKEL YANG SAMA