8 dikhuatiri maut tanah runtuh di Indonesia

8 dikhuatiri maut tanah runtuh di Indonesia

JAKARTA, 25 Ogos (AFP) – Lapan orang hilang dan dikhuatiri mati selepas runtuhan tanah besar melanda sebatang jalan di kawasan timur terpencil di Indonesia, kata seorang pegawai hari ini.

Hujan lebat di rantau pergunungan terpencil wilayah Papua mencetuskan runtuhan tanah pada Ahad, menimbus enam orang pekerja pembinaan dan dua orang yang berada di tempat kejadian di bawah batu dan runtuhan.

Jurucakap polis Papua Patridge Renwarin berkata berita kejadian tidak diterima oleh pihak berkuasa tempatan sehingga semalam, apabila kumpulan menyelamat ditubuhkan dengan serta merta.

Namun cuaca buruk menghalang polis, tentera dan pegawai tempatan daripada sampai ke tapak runtuhan tanah semalam, dengan usaha mencari mangsa yang tertimbus diteruskan hari ini.

“Saya telah menerima laporan mengatakan kumpulan menyelamat telah sampai ke tapak dan proses pemindahan sedang dilakukan,” beritahu Patridge kepada AFP.

Runtuhan tanah adalah kejadian biasa di Indonesia, salah sebuah negara yang paling mudah terdedah kepada bencana semula jadi di dunia.

Agensi bencana negara menganggarkan kira-kira separuh daripada 250 juta penduduk negara tinggal di kawasan yang mudah terdedah kepada runtuhan tanah.

ARTIKEL YANG SAMA