8 graduan tamatkan program

8 graduan tamatkan program

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Sept – Lapan orang telah berjaya menamatkan program intensif selama empat minggu untuk mendapatkan sijil mengajar Bahasa Inggeris kepada orang dewasa ‘Certificate in English Language Teaching to Adults’ (CELTA) dan diraikan dalam Majlis Tamat Pengajian CELTA di Bilik Persidangan, CfBT Education Services, Kiarong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan sijil-sijil kepada graduan ialah Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Ben Boddy.

Ini merupakan kali pertama program CELTA yang diluluskan oleh Universiti Cambridge diadakan di Negara Brunei Darussalam dan ia telah dikendalikan oleh Rob Tunnell.

Lapan orang graduan yang menerima sijil berkenaan terdiri daripada Dayang Siti Khairuniza binti Ja’afar, Sangeetha Shetty, Sudharshana Gandha, Jean Kiekopf, Devi Barathan, Susan Cuhadar, Mandy Woods dan Dominic Morley.

Pengurus Cawangan CfBT Education Services di Brunei, Dr. Greg Keaney ketika ditemui Media Permata menjelaskan bahawa sijil berkenaan merupakan satu kelayakan bertaraf dunia untuk dapat mengajar Bahasa Inggeris.

Para graduan yang dirai bergambar ramai pada majlis tersebut.
Para graduan yang dirai bergambar ramai pada majlis tersebut.
Dr. Greg Keaney ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya di majlis graduasi berkenaan.
Dr. Greg Keaney ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya di majlis graduasi berkenaan.

“Sejarahnya, ia diadakan bagi penutur-penutur asli Bahasa Inggeris, oleh itu ia lebih biasa di negara seperti UK dan Australia. Akan tetapi kami rasa kualiti Bahasa Inggeris di Brunei adalah benar-benar di tahap penutur asli Bahasa Inggeris,” ujarnya.

Beliau juga menjelaskan bahawa guru-guru sekolah mempunyai kelulusan yang berlainan, yang mana kelulusan CELTA lebih kepada mengajar orang dewasa selain itu atas sebab-sebab profesional yang lain.

“Ia dianggap sebagai sijil lepasan ijazah. Biasanya, orang yang telah selesai menjalani pengajian di universiti, mereka akan mengambil program ini.

“Bagi mereka yang ingin menjadi guru biasanya mengambil masa setahun ke dua tahun untuk mendapatkan kelayakan berkenaan, akan tetapi program ini hanya mengambil masa empat minggu, tetapi empat minggu yang sukar,” tambah beliau lagi.

Salah seorang graduan CELTA, Sudharshana Gandha ketika ditemui berkata, “Sebelum ini, kami sangka kami sangat sempurna dalam berbahasa Inggeris, namun terdapat banyak yang dipelajari terutama ketika kita perlu mengajar seseorang yang bukan berbahasa Inggeris. Sistemnya (dalam pengajaran) adalah berbeza.”

ARTIKEL YANG SAMA