8 ikan paus mati terkandas di pesisir

8 ikan paus mati terkandas di pesisir

PROBOLINGGO, Indonesia, 16 Jun (AFP) – Lapan ekor ikan paus pandu mati selepas terkandas di pantai utama pulau Jawa, Indonesia yang mencetuskan operasi menyelamat besar-besaran, menurut pegawai hari ini.

Sebanyak 32 ekor ikan paus pandu yang bersirip pendek berenang ke pesisir ketika ombak tinggi awal kelmarin di Probolinggo, wilayah Jawa Timur.

“Pada mulanya hanya seekor atau dua ikan paus berenang berhampiran pantai, dan sudah menjadi tabiat semula jadi ikan paus jika ia sakit ia akan datang berhampiran pantai,” kata ketua pejabat perikanan dan maritim tempatan, Dedy Isfandi memberitahu AFP.

“Namun ikan paus ini mempunyai interaksi sosial yang tinggi – apabila seekor jatuh sakit, yang lain mendekati yang sakit untuk berenang semula ke laut…apabila air pasang surut semuanya akan terkandas,” tambah Isfandi.

Ratusan nelayan tempatan dan para pegawai kerajaan cuba untuk menolak ikan berkenaan kembali ke laut semalaman, namun pada paginya lapan ekor ikan paus kembali ke pesisir dan mati, kata Isfandi.

Beberapa aktivis alam sekitar Indonesia membantu sekumpulan ikan paus pandu bersirip pendek yang berenang ke pesisir semasa ombak tinggi di Probolinggo, wilayah Jawa Timur pada 16 Jun. – AFP
Beberapa aktivis alam sekitar Indonesia membantu sekumpulan ikan paus pandu bersirip pendek yang berenang ke pesisir semasa ombak tinggi di Probolinggo, wilayah Jawa Timur pada 16 Jun. – AFP

Sekitar 23 yang lain sudah dikeluarkan ke laut sementara seekor ikan paus yang keliru telah ditemani oleh beberapa penyelamat untuk memastikan ia tidak kembali semula ke pesisir.

Beberapa penyelamat menggunakan kain terpal untuk membungkus mamalia laut di pantai itu dan menariknya keluar ke laut sementara para perenang mengiringi ikan lain ke laut.

Doktor haiwan dan ahli saintis telah menjalankan autopsi ke atas ikan paus yang mati itu untuk mencari kenapa ia terkandas, namun para pegawai perikanan mengatakan ia mungkin disebabkan air bergelora di Lautan India atau mungkin ia telah memakan sesuatu yang beracun.

Beberapa dekad yang lalu atau sebelumnya, ikan yu paus dan ikan paus orca ditemui terkandas di kawasan itu, kata Isfandi.

ARTIKEL YANG SAMA