8 kantin teri...

8 kantin terima sijil gred B & C

Oleh Ampuan Irma Susanti

 

TEMBURONG, 13 Feb – Sebanyak lapan buah kantin sekolah rendah dan menengah di daerah ini telah menerima sijil penggredan kantin/kios bagi pusat tingkatan enam, maktab dan sekolah-sekolah kerajaan bagi Kumpulan 7 pada majlis penyampaian yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Rataie, baru-baru ini.

Hadir menyampaikan sijil berkenaan ialah tetamu kehormat, Ketua Pengarah Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Derus, yang turut dihadiri sama oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan, guru-guru besar dan pengusaha-pengusaha kantin di daerah ini.

Dalam penilaian secara berperingkat itu, lima buah kantin telah mendapat gred B dan selebihnya mendapat gred C, sementara itu, tiada kantin memperolehi gred A, D atau F.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan pembentangan hasil ulasan dapatan bagi Kumpulan 7 yang telah disampaikan oleh Pegawai Pelajaran, Unit Pendidikan Kesihatan, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Hanafiah bin Haji Minudin yang antaranya menjelaskan kesemua pengusaha kantin secara menyeluruh telah mempraktikkan cara yang sama dalam penjualan makanan dan minuman di kantin sekolah walaupun masih memerlukan sistem pemantauan yang lebih efektif bagi memastikan syarat-syarat dan peraturan-peraturan pengendalian kantin diikuti dan dipenuhi, khusus dalam penjualan makanan dan minuman yang dibenarkan.

Majlis juga diselitkan dengan sesi taklimat bertajuk ‘Konsep Makanan Halal dalam Islam: Perspektif Islam’, daripada Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang disampaikan oleh Haji Ahmad Lufti bin Hj Edris.

Tetamu kehormat ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang pengendali kantin/kios sekolah.
Tetamu kehormat ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang pengendali kantin/kios sekolah.

Majlis kemudian disusuli dengan ceramah kedua bertajuk ‘Perlaksanaan Pemakanan Sihat di Sekolah’ yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Kesihatan, Pusat Promosi Kesihatan, Perkhidmatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Dayang Rusyidah binti Haji Sudin.

Program penggredan kantin/kios ini adalah bertujuan untuk memberikan dorongan dan pengiktirafan kepada sekolah yang berkenaan dalam menunjukkan kualiti pengurusan makanan serta memperbaiki dan meningkatkan mutu perkhidmatan kantin/kios dalam berbagai-bagai aspek bagi membendung penyakit-penyakit berjangkit/tidak berjangkit seperti kegemukan, cirit birit dan keracunan makanan.

Ia juga adalah usaha sama Jabatan Sekolah-sekolah melalui Unit Pendidikan Kesihatan, Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan (Kantin), (HSSE), Kementerian Pendidikan; Bahagian Pemakanan Masyarakat, Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan dan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan; Jabatan Daerah Temburong; dan Jabatan Bandaran, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.