8 lagi produk tercemar

8 lagi produk tercemar

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa lapan lagi produk telah didapati dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan berikutan hasil ujian makmal Bahagian Kawalan Mutu Ubat, Jabatan Perkhidmatan Farmasi.

Produk-produk berkenaan adalah dua produk kesihatan iaitu Multivitamin Super Gemuk Tablet yang dicemari dengan Dexamethasone dan pil Birdnest Chong Chau Pi Pa Dan (dikilangkan/diedarkan oleh Tye Hin Medical Enterprise, Johor Baharu) yang dicemari dengan Chlorpheniramine dan Dexamethasone.

Manakala empat lagi adalah produk kosmetik iaitu Citra-Day & Night Cream, Lasting White (krim berwarna kuning) yang dikilangkan/diedarkan oleh Milott Laboratory Co. Ltd., Thailand; Citra-Lasting White, Bubuk Mutiara Cina Moisturiser (Day Cream) dan Citra-Lasting White, Bubuk Mutiara Cina Moisturiser (Night Cream), kedua-duanya oleh PT Unilever Indonesia Tbk, JI, Jendral Gatot Subroto Kav, 15, Jakarta 12930-Indonesia; Citra-Pearly White UV, Bubuk Mutiara Cina, Facial Moisturiser (Night Cream) oleh PT Unilever Indonesia Tbk, Cikarang-Bekasi; Citra-Spotless White Glow UV, Beras Jepang & Ekstrak Teh Hijau, Pelembab Wajah Day & Night Cream oleh PT Jababeka V, Blok U, No. 14-16, Cikarang, Bekasi-Indonesia; dan Citra-Mulberry & Minyak Biji Anggur, Pelembab Wajah Day & Night Cream oleh PT Jababeka V, Blok U, No. 14-16, Cikarang, Bekasi-Indonesia, yang mana kesemua produk ini dicemari dengan merkuri.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, produk-produk berkenaan telah didapati melalui aktiviti pemantauan semasa pasaran yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di kedai-kedai runcit.

Menurut kenyataan itu, penggunaan Kortikosteroid Dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan boleh menyebabkan peningkatan paras glukosa dalam darah yang mengakibatkan kencing manis, tekanan darah tinggi, katarak, penyakit otot dan tulang, serta meningkatkan risiko jangkitan yang teruk.

pg02_160125_a

Penggunaan Kortikosteroid dalam jangka panjang juga boleh mengakibatkan Cushing’s syndrome yang dicirikan dengan muka bulat atau moon face, serta kegemukan pada bahagian badan dengan anggota kaki dan tangan yang kecil. Pengguna yang telah mengambil dos steroid yang tinggi dalam tempoh masa lama mungkin mengalami gejala termasuk keletihan, sakit otot dan sendi, demam, kadar gula dalam darah rendah, tekanan darah rendah dan dehidrasi.

Kementerian Kesihatan turut memaklumkan bahawa pihak mereka tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan/atau mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, orang ramai yang telah membeli atau memakan produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas memakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Mereka yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) pula diingatkan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun 1956 untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan yang dikawal dan boleh dikenakan denda sebanyak $8,000 atau penjara enam bulan, jika didapati bersalah. Ia juga mungkin membahayakan nyawa manusia, jika didapati bersalah, akan didenda sebanyak $16,000 dan 12 bulan penjara.

Di samping itu, orang ramai juga diingatkan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di Kementerian Kesihatan, dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

ARTIKEL YANG SAMA