8 maut dalam kejadian tembakan di Utara Texas

PLANO, Texas, 11 Sept – Lapan orang termasuk suspek terbunuh dalam kejadian tembakan di sebuah rumah di Plano, Texas, kata pihak berkuasa di Utara Texas.

Penembakan berlaku sekitar jam 8 malam kelmarin di bandar itu kurang daripada 20 batu (32.19km) di timur laut Dallas.

Jurucakap polis Plano, David Tilley berkata anggota polis menembak mati suspek sebaik tiba di lokasi kejadian.

Dua yang lain cedera dalam kejadian itu, namun keadaan mereka tidak dinyatakan.

Selain itu, polis turut menemukan sembilan mangsa, tujuh daripadanya maut di tempat kejadian sementara dua lagi dihantar ke hospital.

Semua mangsa dipercayai orang dewasa, polis belum dapat memastikan motif penembakan itu. – Bernama/AP