8 mayat warga British tiba dari Tunisia

8 mayat warga British tiba dari Tunisia

BRIZE NORTON, United Kingdom, 2 Julai (AFP) – Mayat lapan warga Britain yang terbunuh dalam serangan minggu lepas di Tunisia tiba di negara ini semalam di pangkalan tentera udara Brize Norton di barat laut London.

Keranda mayat-mayat tersebut diterbangkan dari Tunisia menggunakan pesawat pengangkut Boeing C-17 Tentera Udara Diraja Britain.

Pejabat Luar mengesahkan bahawa ini adalah kumpulan pertama mayat yang dihantar pulang, dengan lebih banyak dijangka tiba beberapa hari mendatang.

“Ini adalah fasa pertama penghantaran pulang mayat melalui pangkalan udara Brize Norton,” kata tentera udara dalam satu kenyataan.

Pada Jumaat lepas, warga Tunisia berusia 23 tahun, Seifeddine Rezgui melepaskan bedilan membabi-buta di kawasan pantai hotel lima bintang RIU Imperial Marhaba di Pelabuhan El Kantaoui, mengorbankan seramai 38 orang.

Jumlah warga Britain yang dikenal pasti meninggal dunia dalam serangan itu kini sudah mencecah 38 orang, kata Pejabat Luar semalam.

Seorang lagi mangsa dipercayai warga British tetapi polis masih memerlukan lebih masa untuk mengesahkan identitinya.

Jumlah kematian di kalangan warga Britain adalah yang terburuk bagi Britain dalam serangan kumpulan jihad sejak pengeboman di London pada Julai 2005 yang mengorbankan 52 orang.

Perdana Menteri David Cameron berikrar melakukan penyiasatan menyeluruh, sambil menggesa bagi “respons di tanah air dan luar negara”.

ARTIKEL YANG SAMA