8 pasukan mara suku akhir Piala SC

8 pasukan mara suku akhir Piala SC

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Lapan pasukan mengesahkan kemaraan masing-masing ke suku akhir Piala Standard Chartered (SC) 2016 setelah menjuarai kumpulan masing-masing.

Pasukan-pasukan itu ialah Plan C FT daripada Kumpulan A, SCB FT daripada Kumpulan B, BIBD FT daripada Kumpulan C, Real Five FC daripada Kumpulan D, TBB FT daripada Kumpulan E, HMD FT daripada Kumpulan F, FMN FC daripada Kumpulan G dan Brunei Shell Lions daripada Kumpulan H.

Pada peringkat suku akhir esok, FMN FC akan menentang Brunei Shell Lions pada jam 4:20 petang, disusuli pertemuan BIBD FT dalam Real Five FC pada jam 5 petang. Perlawanan ketiga pada jam 5:30 petang akan menyaksikan TBB FT bertemu HMD FT dan akhir sekali pada jam 5:50 petang, Plan C FT akan bertemu SCB FT.

Aksi separuh akhir dan final pada malam 9 April nanti, juga dilangsungkan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) bermula jam 8 malam.

Aksi Kumpulan G antara Shah United FC (biru) dengan F.M.N FC yang bersesudahan 0-0.
Aksi Kumpulan G antara Shah United FC (biru) dengan F.M.N FC yang bersesudahan 0-0.

Pada 5 April lalu, lapan perlawanan berlangsung, di mana OLSCB FT menang 2-0 ke atas DST FT dalam Kumpulan D, diikuti dengan kemenangan 4-2 TBB FT ke atas Media United dalam Kumpulan E dan Qahar FT seri 0-0 dengan BLT FT dalam Kumpulan F.

Selepas itu, OLSCB FT seri 0-0 dengan Real Five FC dalam Kumpulan D, SCB FT menang 2-0 ke atas BruLiv Syabab FT dalam Kumpulan B, TBB FT menang 1-0 ke atas CBTL FT dalam Kumpulan E, Real Five FC membelasah DST FT 5-1 dalam Kumpulan D dan CBTL menang 3-1 ke atas Media United dalam Kumpulan E.

Malam terakhir peringkat kumpulan semalam menyaksikan lapan perlawanan berlangsung di mana HMD FT menang tipis 1-0 ke atas Qahar FT, diikuti FMN FC seri 0-0 dengan Shah United dan Brunei Shell Lions seri 2-2 dengan The Redators. HMD FT dengan BLT Ft juga seri 0-0, Shah United menang 4-0 ke atas YNWA Pool, The Redators seri 1-1 dengan Syahkampong, FMN FC menang mudah 6-0 ke atas YNWA Pool dan Syahkampong tewas 0-2 kepada Brunei Shell Lions.