8 pelacur warga asing diberkas

8 pelacur warga asing diberkas

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Julai – Lapan wanita warga asing berusia antara 20an dan 30an ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran, semasa satu serbuan oleh anggota-anggota Jabatan Siasatan Jenayah dari Balai Polis Sentral ke atas sebuah hotel di ibu negara hari ini.

Semasa serbuan tersebut yang dibuat hasil daripada maklumat orang ramai, polis turut menahan tiga lelaki warga tempatan yang disyaki melanggan khidmat mereka.

Wanita-wanita tersebut memasuki ke negara ini menggunakan pas lawatan, kata Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Mohamad Noor bin Haji Abdul Rahman dalam satu kenyataan kepada Media Permata malam ini.

Menurut beliau, semasa serbuan itu polis turut merampas sejumlah matawang asing serta barangan yang digunakan bagi tujuan melacur seperti kondom dan bahan pelincir. Kesemua yang ditahan akan dihadapkan ke mahkamah setelah siasatan selesai.

Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei menyeru orang ramai supaya melaporkan segera sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurut Seksyen 294A Perkara 22 Kanun Hukuman Jenayah, mereka yang didapati merayau atau mencari pelanggan bagi tujuan pelacuran boleh dijatuhi hukuman denda sehingga $5,000 dan penjara sehingga setahun, jika sabit kesalahan.

Manakala itu, mereka yang didapati mengambil mana-mana perempuan atau gadis dengan tujuan pelacuran boleh didakwa dibawah Seksyen 3(1)(a) Perkara 120, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis, yang membawa hukuman penjara sehingga 5 tahun dan denda sehingga $20,000 jika sabit kesalahan.

ARTIKEL YANG SAMA