8 pemenang reka poster keselamatan diraikan

8 pemenang reka poster keselamatan diraikan

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 13 April – Lapan orang pemenang telah diraikan dalam satu acara penyampaian hadiah Peraduan Mereka Bentuk Poster ‘Safety On The Road’ yang disertai oleh seramai 250 peserta dari Sekolah Panaga Seria termasuk seluruh sekolah-sekolah rendah dan menengah bawah bagi Daerah Belait.

Acara yang diadakan di Sekolah Panaga Seria itu mempertandingkan dua kategori yang mana bagi Kategori Umur 5 hingga 8 Tahun telah dimenangi oleh Pieter G yang menerima hadiah wang tunai $150 manakala tiga pemenang lain Bas V, Lydia B dan Alberto R masing-masing menerima $50.

Bagi Kategori Umur 9 hingga 12 Tahun pula juara dimenangi oleh Dayang Nur Syazana Haziqah binti Mohd Hairol yang menerima hadiah wang tunai $150 manakala tiga yang lain ialah Awang Mohd Sahrul Fazreen bin Rismadady, Thomas L dan Bhavna S masing-masing menerima $50.

Pengetua Sekolah Panaga Seria, Tim Robinson yang hadir memberi ucapan semasa acara itu berkata, “Matlamat kami dengan mengadakan pertandingan ini adalah untuk mempelawa kanak-kanak membantu kami menyampaikan mesej keselamatan kepada semua orang dewasa dan kanak-kanak dalam masyarakat kita. Kanak-kanak melihat dunia secara berbeza, mereka mempunyai perspektif alternatif, ia adalah penting bahawa kita menerima pandangan mereka untuk membantu mendidik semua orang, beberapa sumbangan idea dan konsep mereka adalah kompleks tetapi juga jujur ​​dan menyegarkan.”

Para pemenang bergambar ramai bersama guru, ibu bapa, penganjur dan penaja pertandingan tersebut.
Para pemenang bergambar ramai bersama guru, ibu bapa, penganjur dan penaja pertandingan tersebut.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Guru Pakar Pendidikan Digital di Sekolah Panaga Seria, Awang Neil Lynch dan Awang Damian Brady itu adalah bersempena dengan Hari Keselamatan BSP yang juga ditaja oleh Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd (BSP) yang diraikan hari ini dengan tujuan bagi menggalakkan keselamatan di jalan raya Brunei untuk semua pengguna jalan raya.

Awang Neil Lynah ketika ditemui mengatakan, komunikasi sentiasa berubah dalam dunia moden, menerusi pertandingan ini, ia menunjukkan komitmen yang besar untuk memupuk kemahiran komunikasi di sekolah-sekolah di negara ini. Dengan membawa mesej keselamatan yang sangat penting, kami melihat potensi yang luar biasa yang terletak di tangan belia di negara ini dalam bakat mereka untuk mereka bentuk poster.

Manakala itu, Damian Brady pula memberitahu bahawa, “Mereka bentuk adalah kemahiran yang sentiasa berkembang dan semakin penting dalam pasaran kerja yang semakin sengit dan sentiasa berubah dan hari ini ia benar-benar baik untuk melihat anak-anak dan keluarga dari seluruh negara untuk menghadiri majlis ini.”

ARTIKEL YANG SAMA