8 penerima biasiswa sertai Kursus Kesedaran Peribadi

8 penerima biasiswa sertai Kursus Kesedaran Peribadi

Oleh Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Lapan orang penerima-penerima biasiswa dan kakitangan Kementerian Pertahanan, baru-baru ini menyertai Kursus Kesedaran Peribadi selama tujuh hari di Pusat Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD).

Kursus tersebut merupakan salah satu aktiviti dalam program induksi bagi penerima-penerima biasiswa Kementerian Pertahanan tahun 2016 yang terdiri daripada belia berumur antara 19 hingga 25 tahun.

Menurut Pegawai Tugas-tugas Khas di Kementerian Pertahanan, Dayang Susie Haslinda binti Abdullah selaku pegawai pengiring peserta kursus tersebut dalam kenyataan yang diberikan bahawa, melalui kursus ini, para peserta menjadi lebih berdikari dan dapat mengenal diri masing-masing dengan lebih dekat lagi terutama dalam menerokai kelemahan atau kekurangan dan kelebihan diri yang mana perkara ini akan dapat dijadikan panduan asas ke arah menjalani hidup yang lebih sempurna pada masa hadapan.

Pusat OBBD adalah sebuah pusat pembangunan jati diri yang diiktiraf oleh Badan Outward Bound Antarabangsa.

Lapan penerima biasiswa dan warga Kementerian Pertahanan bergambar ramai bersama jurulatih OBBD ketika menyertai Kursus Kesedaran Peribadi selama tujuh hari di Pusat OBBD.
Lapan penerima biasiswa dan warga Kementerian Pertahanan bergambar ramai bersama jurulatih OBBD ketika menyertai Kursus Kesedaran Peribadi selama tujuh hari di Pusat OBBD.

Ia berorientasikan pendidikan ke arah membantu pelbagai lapisan masyarakat khususnya para belia dalam menanam, membina dan memantapkan nilai-nilai jati diri dan ciri-ciri kepimpinan mereka dengan menggunakan kaedah ‘Pembelajaran Melalui Pengalaman’ dan ‘Latihan Pengembaraan’ dalam persekitaran yang asing lagi penuh mencabar.

Antara program-program dalam kursus yang ditawarkan di pusat berkenaan juga lebih menekankan ketahanan fizikal dan mental, kecepatan daya berfikir, menjalin hubungan setia kawan, berdikari, disiplin diri ke arah membantu negara ini bagi melahirkan belia-belia berjiwa besar, berdikari, mempunyai nilai patriotisme yang tinggi serta berguna kepada agama, bangsa dan negara bagi mencapai Wawasan Negara 2035.

Antara aktiviti yang dimuatkan dalam program kursus di Pusat OBBD ialah kayak, pembinaan berkumpulan, abseiling, flying fox, solo night, rock climbing, jungle trekking dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA