8 peserta ke pertandingan akhir

8 peserta ke pertandingan akhir

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Lapan peserta mara ke pertandingan akhir Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 2015 selepas pengumuman dibuat dalam Majlis Pengumuman Keputusan dan Penyampaian Cenderamata kepada peserta musabaqah di Pusat Belia Ibu Negara.

Peserta itu termasuklah lima peserta qari dan tiga peserta qariah daripada seramai 29 peserta yang berentap di peringkat separuh akhir Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan anjuran Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Hadir menyampaikan cenderamata kepada peserta terpilih ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Dalam pertandingan akhir kelak yang akan diadakan pada 28 Mei 2015, peserta qari terdiri daripada Awang Muhd Sa’dun bin Suhaili, Awang Abdul Wafiy bin Haji Ibrahim, Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri dan Awang Afiq Haririe bin Haji Mohd Daud.

Sementara peserta qariah ialah Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki, Dayangku Amal Zahirah binti Pengiran Haji Jofri, Dayangku Nur Aqilah binti Pengiran Haji Ayub dan Dayang Fatin Nurhanani binti Haji Mohdar.

Salah seorang peserta musabaqah menerima cenderamata mereka daripada tetamu kehormat majlis.
Salah seorang peserta musabaqah menerima cenderamata mereka daripada tetamu kehormat majlis.
Antara yang hadir di majlis itu, kelmarin.
Antara yang hadir di majlis itu, kelmarin.

Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan ini merupakan salah satu projek tahunan yang diungkayahkan oleh jabatan dan ia mula dilaksanakan sejak tahun 1980an dan berjaya melahirkan banyak qari dan qariah belia yang berkaliber seterusnya mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

Selain itu, ia juga berperanan sebagai wadah kepada qari dan qariah belia di negara ini untuk melihat keupayaan dan prestasi masing-masing khususnya dalam pembacaan Al-Quran secara berlagu atau tarannum.

Majlis diserikan dengan persembahan Tausyeh Belia dari Kumpulan Al-Khalil sebelum pengumuman keputusan oleh Pengerusi Jemaah Hakim, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit.

ARTIKEL YANG SAMA