8 qari, qariah belia mara peringkat akhir

8 qari, qariah belia mara peringkat akhir

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Seramai lapan peserta Musabaqah Tilawatil Al-Quran Belia Kebangsaan 1434H / 2015M mara ke peringkat akhir yang akan berlangsung pada 3 Mei ini, setelah berjaya menewaskan 21 peserta lain dalam peringkat separuh akhir di Pusat Belia, di ibu negara.

Penganjuran pertandingan ini adalah bagi membuat persediaan dalam memilih wakil negara ke Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Musabaqah Tilawatil Al-Quran Belia Kebangsaan adalah salah satu projek tahunan yang diungkayahkan oleh Jabatan Belia dan Sukan, KKBS yang telah dilaksanakan sejak tahun 80an lagi dan telah berjaya melahirkan banyak qari dan qariah belia yang berkaliber dan mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Di samping itu, ia juga berperanan sebagai wadah kepada qari dan qariah belia di negara ini untuk melihat keupayaan dan prestasi masing-masing khususnya dalam bidang pembacaan Al-Quran secara berlagu atau taranum.

Pertandingan seumpama ini juga bertujuan untuk mempertingkatkan lagi mutu pembacaan Al-Quran dalam kalangan belia di Negara Brunei Darussalam serta dapat memupuk dan menyemai rasa persahabatan dalam kalangan para peserta belia melalui program keagamaan.

ARTIKEL YANG SAMA