8 sekeluarga dibunuh di Ohio

8 sekeluarga dibunuh di Ohio

PIKETON, Ohio, 24 April – Pihak berkuasa meneruskan siasatan untuk mengenal pasti dan memburu suspek atau kumpulan suspek kes bunuh lapan sekeluarga di kawasan pedalaman di selatan Ohio, semalam.

Tujuh dewasa dan seorang budak lelaki ditemui mati di empat tempat berbeza dalam satu rumah berdekatan Piketon, kira-kira 60 batu dari selatan Columbus.

Pejabat Peguam Negeri, Mike DeWine berkata pemeriksaan di setiap lokasi jenayah yang berlaku itu sudah diselesaikan.

Jurucakap DeWine, Lisa Hackley, berkata penyiasat kini berusaha mengenal pasti semua bukti dan petanda yang boleh membawa kepada penangkapan suspek.

“Ia siasatan yang sangat aktif dan berterusan,” katanya.

Gambar yang diambil dari udara menunjukkan salah satu lokasi yang disiasat di Pike County, Ohio, sebagai sebahagian daripada siasatan pembunuhan berterusan, pada Jumaat lalu. – AP
Gambar yang diambil dari udara menunjukkan salah satu lokasi yang disiasat di Pike County, Ohio, sebagai sebahagian daripada siasatan pembunuhan berterusan, pada Jumaat lalu. – AP

Penyiasat berkata, tiada sebarang tanda semua kejadian maut itu disebabkan bunuh diri.

Semua mayat mangsa kini berada di pejabat Koroner Daerah Hamilton di mana bedah siasat dijangka dijalankan segera.

Setakat ini pihak berkuasa mengenal pasti mangsa terbabit iaitu Christopher Rhoden Sr, 40; anak lelakinya berusia 16 tahun, Christopher Rhoden Jr.; Kenneth Rhoden, 44; Gary Rhoden, 38; Dana Rhoden, 37; Clarence “Frankie” Rhoden, 20; Hannah Gilley, 20; dan Hanna Rhoden, 19.

Pihak berkuasa berkata, kebanyakan mangsa terbunuh ketika mereka sedang tidur termasuk Hanna Rhoden, yang berada di atas katil bersama anak damitnya yang baru lahir.

Anak damit berusia antara empat hingga lima hari itu bersama dua lagi kanak-kanak bagaimanapun tidak dicederakan. Buat masa ini tiada tangkapan dibuat.

Oleh itu Pihak berkuasa di luar bandar selatan Ohio menggesa penduduk agar berhati-hati apabila pencarian diteruskan suspek penembakan lapan anggota keluarga di empat buah kediaman yang berbeza. – AP