8 terselamat selepas terperangkap dalam lombong

8 terselamat selepas terperangkap dalam lombong

BEIJING, 30 Dis – Pasukan penyelamat yang menggunakan kamera infra merah menemui lapan pekerja selepas lima hari terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di sebuah lombong dekat wilayah Shandong China, hari ini.

Pekerja lombong gipsum itu terperangkap selepas gempa bumi sekuat 4.0 magnitud pada Hari Natal.

Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dalam kejadian itu dan sembilan lagi masih hilang.

Gipsum adalah galian sulfat lembut yang banyak digunakan dalam sektor pembinaan.

Stesen televisyen rasmi China, CCTV melaporkan pekerja yang terselamat agak lemah dan kelaparan tetapi dalam keadaan sihat.

Anggota penyelamat menghantar bekalan makanan kepada pekerja yang terperangkap. Pekerja terbabit memberitahu anggota penyelamat, mereka kini berada di laluan bawah tanah yang masih kukuh.

Dua hari selepas kejadian, pemilik lombong, Ma Congbo, membunuh diri dengan terjun ke dalam telaga, manakala empat pegawai tertinggi daerah Pingyi, dipecat.

Lombong di China terkenal sebagai antara yang paling berbahaya di dunia, namun peningkatan tahap keselamatan berjaya mengurangkan angka kematian sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA