8 warga asing diberkas, 110 telefon bimbit tiruan dirampas

8 warga asing diberkas, 110 telefon bimbit tiruan dirampas

pg01_151126_c

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Lapan warga asing yang dipercayai menjual telefon tiruan diberkas dalam operasi serbuan bersama yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Teknologi Info-komunikasi (AITI) dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.

Serbuan tersebut dibuat susulan mendapat maklumat orang ramai, ke atas sebuah hotel di ibu negara. Dalam serbuan itu, pihak berkuasa telah merampas sebanyak 110 unit telefon bimbit tiruan model terkini jenama-jenama Oppo, iPhone dan Samsung.

Sehubungan itu, pihak AITI mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan bahawa peranti dan peralatan telekomunikasi telah diluluskan oleh AITI sebelum membeli serta membeli peranti dan peralatan telekomunikasi daripada wakil-wakil penjual berlesen.

AITI dalam kenyataannya di sini berkata, cara mudah untuk memastikan sama ada sesuatu peranti itu telah diluluskan bagi kegunaan oleh AITI ialah dengan memeriksa pelekat jenis yang diluluskan AITI.

Peranan AITI ialah untuk melesenkan sistem dan perkhidmatan telekomunikasi dan komunikasi radio, pengimportan, penjualan semula dan meluluskan peralatan telekomunikasi dan komunikasi radio serta penggunaan spektrum frekuensi radio di Negara Brunei Darussalam.

Kesemua aktiviti ini dilesenkan oleh AITI dan menjalankannya tanpa lesen yang diluluskan merupakan satu kesalahan di bawah Perintah Telekomunikasi 2001.

Sesiapa yang didapati mengimport peralatan telekomunikasi dan komunikasi radio yang belum diluluskan oleh AITI, boleh disabitkan kesalahan dan didenda tidak lebih $10,000 atau penjara tidak lebih daripada 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penjualan telefon bimbit tiruan atau peralatan-peralatan berkaitan, sila hubungi Unit Penguatkuasaan AITI ditalian +673 232 3232 atau e-mel: info@aiti.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA