80 masjid ditutup

80 masjid ditutup

TUNIS, 28 Jun (dpa) – Kerajaan Tunisia semalam memutuskan untuk menutup 80 masjid yang didakwa mempunyai kaitan menyebarkan aktiviti keganasan termasuk menyebabkan serangan yang mengorbankan 39 orang kelmarin.

“Semua 80 buah masjid akan ditutup dalam masa seminggu,” kata Perdana Menteri Tunisia, Habib Essid.

Katanya, langkah itu juga sebagai salah satu tindakan meningkatkan kawalan keselamatan ekoran pembunuhan di sebuah resort tepi pantai Saosse.

Habib memberitahu, kebanyakan mangsa yang terlibat dalam kejadian itu terdiri daripada warga Britain rakyat Jerman, Belgium dan lain-lain negara.

“Kerajaan akan mengambil langkah keselamatan tambahan luar biasa,” katanya yang menekankan kepada kawasan pelancongan dan arkeologi.

Tentera simpanan juga telah dikerahkan bagi meningkatkan kawalan keselamatan di semua lokasi yang berpotensi menjadi sasaran pengganas.

“Kerajaan juga akan membubarkan parti politik dan mana-mana pertubuhan yang tidak mematuhi undang-undang,” kata Habib merujuk kepada kumpulan yang menyebarkan fahaman radikal. Semalam, militan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab melakukan serangan oleh seorang anggota mereka yang bernama Abu Yahya al-Kairouani.