80 pelajar JIS raih keputusan cemerlang

80 pelajar JIS raih keputusan cemerlang

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Bahyiah Bakir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Seramai 80 orang pelajar Tahun 10 hingga 12 Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan telah diraikan dalam Majlis Meraikan Pencapaian dan Tamat Pengajian Tahun 13 yang berlangsung di Pusat Kesenian JIS, kelmarin.

Daripada jumlah berkenaan, 15 orang pelajar Tahun 10 dan 16 orang pelajar Tahun 11 menerima Anugerah Akademik Tahun Atas, 15 orang pelajar Tahun 12 menerima Anugerah Akademik Menengah Enam bagi AS dan 10 lagi pelajar Tahun 12 menerima anugerah sama bagi hadiah IB, manakala itu, 12 orang pelajar menerima Anugerah Pencapaian Akademik Cemerlang JIS.

Di samping itu, 16 orang pelajar sekolah berkenaan turut menerima Anugerah Antarabangsa Emas.

Majlis turut menyaksikan seorang daripada pelajar berkenaan, Dayang Nadiah Hamed dianugerahkan sebagai pelajar cemerlang dan menerima Biasiswa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei untuk melanjut pembelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Pengetua JIS, Barnaby Sandow berkata, tidak dinafikan bahawa pencapaian cemerlang pelajar-pelajar sekolah berkenaan setiap tahun telah menjelmakan satu ekosistem yang dapat membantu dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan pencapaian kebangsaan bagi peperiksaan awam.

Antara pelajar yang menerima anugerah tersebut.
Antara pelajar yang menerima anugerah tersebut.

Dengan pencapaian sekolah yang konsisten, telah menyumbang kepada penghasilan pelajar tempatan dan antarabangsa yang berpotensi tinggi dan cemerlang dalam berbagai-bagai bidang, tambahnya lagi.

Majlis berkenaan antara lain bertujuan untuk meraikan usaha serta kerja keras para pelajar dan juga untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada para pelajar lain untuk cemerlang dalam akademik mereka terutama kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan dan di peringkat yang lebih tinggi.

Secara keseluruhannya, keputusan peperiksaan pelajar tahun ini telah menunjukkan pencapaian dan peningkatan yang positif dan memberangsangkan berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.

Pada majlis yang sama, seramai 140 orang pelajar Tahun 13 diraikan setelah menamatkan pembelajaran mereka di sekolah berkenaan dan akan meneruskan pembelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 29 daripadanya menerima hadiah sebagai pelajar cemerlang dalam pembelajaran.

Turut hadir pada majlis penganugerahan berkenaan ialah para jemputan khas, ibu bapa dan penjaga serta para pelajar yang diraikan.

ARTIKEL YANG SAMA