80 pelajar sertai bengkel pembelajaran

80 pelajar sertai bengkel pembelajaran

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 16 Feb – Dalam usaha untuk menyuntik kesedaran dan memberikan motivasi kepada pelajar tentang kepentingan lulus dalam Peperiksaan Peringkat ‘O’ Level, Sekolah Menengah PJN Pengiran Haji Abu Bakar telah mengendalikan Bengkel Menangani Masalah Belajar Pelajar Tahun 11 – Zon Merah di sekolah tersebut hari ini.

Bengkel tersebut telah disertai oleh lebih 80 orang pelajar Tahun 11 di sekolah berkenaan yang terdiri daripada pelajar zon merah dan zon kuning, dengan harapan melalui bengkel ini akan meningkatkan semangat dan motivasi para pelajar.

Ia merupakan salah satu daripada aktiviti yang dikendalikan oleh pihak pentadbiran sekolah dengan kerjasama kaunselor-kaunselor kluster dibantu oleh Unit Kaunseling dan Kerjaya dariSekolah-sekolah dan Bahagian Kluster 6, bagi meningkatkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan kalangan pelajar.

Kaunselor Sekolah Menengah PJN Pengiran Haji Abu Bakar, Awang Muhd Hasbul Wafi Fakri memberitahu Media Permata, sekolah tersebut telah membuat pembahagian tiga zon pelajar, iaitu zon merah bagi mereka yang mendapat kosong hingga 1 ‘O’, manakala zon kuning adalah yang mendapat 2 hingga 4 ‘O’ dan zon hijau adalah yang mendapat 5 ‘O’ ke atas.

Para pelajar tekun mendengarkan taklimat dan ceramah yang disampaikan oleh kaunselor sekolah melalui Bengkel Menangani Masalah Belajar Pelajar Tahun 11 - Zon Merah.
Para pelajar tekun mendengarkan taklimat dan ceramah yang disampaikan oleh kaunselor sekolah melalui Bengkel Menangani Masalah Belajar Pelajar Tahun 11 – Zon Merah.

Menurutnya, biarpun pencapaian keputusan yang memperoleh 5 ‘O’ ke atas meningkat pada Peperiksaan BGCE Peringkat ‘O’ tahun lalu, namun pihak sekolah meneruskan inisiatif dengan mengendalikan berbagai-bagai program termasuk motivasi dan bimbingan.

Dalam bengkel berkenaan, para pelajar telah dibahagikan kepada lapan kumpulan dan setiap kelompok berjumlah lapan hingga 10 orang pelajar, dan program ini telah melibatkan beberapa orang kaunselor sekolah menengah dan maktab serta sekolah rendah dari kluster 5 dan kluster 6, selain seorang pegawai kaunselor dari Jabatan-jabatan Sekolah Daerah Belait yang berperanan sebagai pemudah cara dan moderator program itu.

ARTIKEL YANG SAMA