81 maut di Yaman

81 maut di Yaman

GENEVA, 6 Jan  – Sekurang-kurangnya 81 orang awam terbunuh di Yaman bulan lalu, sebahagian besarnya akibat serangan udara diketuai Arab Saudi, walaupun adanya gencatan senjata singkat yang berulang kali dicabuli, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

“Sepanjang bulan Disember, sekurang-kurangnya 62 orang awam dilaporkan terkorban akibat serangan udara oleh tentera bersekutu,” kata jurucakap kepada agensi hak asasi manusia PBB, Rupert Colville kepada wartawan.

Berdasarkan angka itu, Colville berkata ia lebih sekali ganda berbanding 29 orang awam yang dilaporkan terbunuh dalam serangan pada bulan sebelumnya.

Katanya, bagaimanapun, angka korban orang awam akibat serangan pemberontak Houthi dan sekutu mereka berkurangan dua pertiga kepada sekurang-kurangnya 11 orang berbanding 32 orang pada bulan sebelumnya.

Namun, katanya, baki lapan kematian orang awam bulan lalu masih tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana pihak.

Peningkatan dramatik dalam angka orang awam terkorban dalam serangan udara berlaku walaupun satu gencatan senjata diisytiharkan 15 Disember lalu dan pada masa sama rundingan damai yang disokong PBB antara pihak bermusuhan bermula di Switzerland.