81 pelajar PTE Meragang dihargai

81 pelajar PTE Meragang dihargai

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Bagi mengiktiraf dan menghargai kejayaan cemerlang pelajar-pelajar dalam Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE Peringkat ‘A’ dan ‘AS’ pada tahun 2015 yang lalu, Pusat Tingkatan Enam (PTE) Meragang telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang Akademik Bagi Tahun 2015, di sekolah berkenaan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan ucapan serta hadiah ialah Penghulu Mukim Serasa, Mejar (B) Haji Johari bin Haji Abdul Razak.

Dalam ucapannya, Mejar (B) Haji Johari menekankan bahawa pelajar perlu mencari dan mengguna pakai kaedah pembelajaran yang sesuai kerana ilmu dan kemahiran pelajar pada peringkat ini bukan sekadar dari bilik darjah, malahan ia merangkumi pembacaan tambahan sendiri, kajian, membuat latihan dan rajin merujuk kepada pendidik.

Penghulu Mukim Serasa menyampaikan hadiah kepada salah seorang penerima.
Penghulu Mukim Serasa menyampaikan hadiah kepada salah seorang penerima.
Para ibu bapa serta penjaga yang juga turut hadir pada majlis berkenaan.
Para ibu bapa serta penjaga yang juga turut hadir pada majlis berkenaan.

Menurutnya, “Kesemua ini secara langsung memberikan pengalaman dan kemahiran kepada para penuntut untuk sentiasa melengkapi diri dan bersedia dengan apa jua cabaran dan tugasan yang akan diberikan, serta secara jelas dapat mengenal pasti tahap kematangan penuntut memandangkan mereka nanti pasti akan menjadi pemimpin negara di masa akan datang.”

Pengetua PTE Meragang, Pengiran Hajah Maimunah binti Pengiran Haji Osman dalam ucapan alu-aluannya, mengatakan, seramai 81 orang pelajar yang menerima hadiah cemerlang dalam tujuh kategori.

Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah dan diserikan dengan persembahan tausyeh, video inspirasi dan penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat.