81 pelajar sertai Projek Tuisyen PIP

81 pelajar sertai Projek Tuisyen PIP

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 26 Feb – Seramai 81 pelajar dari tiga buah sekolah menengah dan empat sekolah rendah di Daerah Belait akan mula menyertai Program Intervention Pendidikan (PIP) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) yang akan berpusat di Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara (PJN) Pengiran Haji Abu Bakar, Mumong.

Para pelajar yang terpilih itu adalah yang dikenal pasti memerlukan bimbingan rapi dalam bidang akademik dan daripada keluarga yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan.

Sehubungan itu, Majlis Taklimat kepada Ibu bapa dan Penjaga Projek Kelas Tuisyen, PIP Yayasan telah diadakan hari ini di Dewan Serba guna Sekolah Menengah PJN Pengiran Haji Abu Bakar di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Lembaga Pengarah Yayasan selaku Pengerusi Jawatankuasa Sukarelawan Yayasan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail, semasa berucap pada majlis hari ini menyatakan, Program PIP bagi Daerah Belait pada tahun lepas telah pun di ‘outsource’ kepada beberapa Pusat Tuisyen Swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan dengan seramai 17 pelajar telah terpilih menyertainya, lapan di antaranya merupakan pelajar yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR).

Dato Paduka Dr. Haji Affendy hadir pada majlis itu.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy hadir pada majlis itu.

Tambahnya lagi, pencapaian murid-murid PIP dari Sekolah Rendah Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien Kuala Belait dan Sekolah Rendah Kuala Balai dalam peperiksaan PSR adalah sangat membanggakan dengan seorang murid mendapat 5A dan beliau berharap kejayaan seperti itu akan menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk lebih menggiatkan lagi usaha dalam mempertingkatkan kualiti pencapaian masing-masing.

Haji Brahim juga menyatakan, pada tahun ini Jawatankuasa Kerja PIP telah memulakan beberapa inisiatif baru demi memastikan program itu mencapai objektifnya dan kekal relevan, antaranya adalah dengan menyediakan program pengkayaan, program kem motivasi serta program pembelajaran eksperimental yang akan dikendalikan di luar bilik kelas, semua itu adalah dihasratkan untuk membolehkan para pelajar PIP membina pelbagai kemahiran belajar, kemahiran kepimpinan, membina jati diri, keyakinan serta rasa bertanggungjawab.

“Ia adalah hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk meningkatkan kualiti kehidupan melalui kejayaan dalam pendidikan, Baginda telah memperkenankan penubuhan Yayasan pada 5 Oktober 1992 semata-mata sebagai wadah amal jariah Baginda dan kerabat Baginda khususnya kepada rakyat dan penduduk di negara ini,” katanya.

Beliau menambah, demi melaksanakan amanah itu, pihak Yayasan telah mengendalikan pelbagai projek kemasyarakatan, pendidikan dan keagamaan, dengan PIP adalah salah satu daripada inisiatif yang dihasratkan membawa kepada impak bermakna kepada kehidupan rakyat dan penduduk negara.

Majlis hari ini juga telah menyaksikan sesi taklimat mengenai dengan Program PIP, kemudian diteruskan dengan ceramah motivasi yang telah disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah Ketua Bahagian Kaunseling dan Bakat Kerja Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Abdul Ghafor.

ARTIKEL YANG SAMA