81,000 kg minyak masak dirampas di seluruh negara

81,000 kg minyak masak dirampas di seluruh negara

PUTRAJAYA, 15 Nov – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas 81,000 kilogram minyak masak dari 38 premis, bernilai RMRM550,000 di seluruh negara sejak 21 Oktober sehingga semalam.

Timbalan Pengarah Penguat kuasa Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata KPDNKK telah membuka 45 kertas siasatan berhubung kesalahan menyorok dan menaikkan harga minyak masak iaitu sembilan kes telah dibawa ke mahkamah.

“Bekalan minyak masak di pasaran kini bertambah baik…Aduan juga berkurangan.

“Namun begitu, penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan bekalan adalah mencukupi dan minyak masak bersubsidi tidak diseleweng,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sehingga semalam, Iskandar berkata KPDNKK memeriksa 39,544 premis di seluruh negara sejak 21 Oktober.

Kini terdapat 253 pembungkus minyak masak dan 25 pengilang di seluruh negara mengeluarkan 50,000 tan metrik minyak bersubsidi.

Berkuat kuasa pada 1 November, harga minyak masak peket 1 kilogram kekal RM2.50 manakala harga minyak masak di dalam botol akan dijual mengikut harga pasaran.

Sebelum itu, Iskandar menerima memorandum daripada badan bukan kerajaan (NGO) berhubung kenaikan harga minyak masak di sini hari ini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA