82% jambatan mataf ditanggal

82% jambatan mataf ditanggal

MEKAH, 26 April – Lebih separuh daripada struktur jambatan mataf sementara yang mengelilingi kawasan tawaf di Masjidil Haram selesai ditanggalkan, dan ia dijangkakan ditanggalkan sepenuhnya pada akhir bulan Mei.

Apabila kerja-kerja itu selesai, kawasan tawaf akan mampu menampung seramai 107,000 jemaah yang bertawaf sejam, jumlah yang berganda jika dibandingkan dengan hanya 20,000 jemaah kini, menurut laman berita Arab Saudi, Saudi Gazette.

Jambatan mataf yang berbentuk bulatan di sekeliling Kaabah itu telah dibangunkan tiga tahun lalu bagi jemaah haji dan umrah menunaikan tawaf sementara kerja-kerja untuk memperluas bangunan Masjidil Haram dilaksanakan. Setelah ia ditanggalkan sepenuhnya, jemaah akan mempunyai ruang yang lebih luas untuk tawaf di tingkat satu dan dua masjid tersebut.

Menurut Faisal Wafa, pengerusi jawatankuasa teknikal bagi projek-projek pembangunan Masjidil Haram, kira-kira 82 peratus daripada jambatan sementara untuk tawaf di sekitar Ka’bah telah ditanggalkan.

Beliau berkata 58 peratus daripada laluan mataf sementara juga telah dikeluarkan. Wafa menjelaskan bahawa 34 tiang, 265 batang besi dan 596 kepingan siling berada dalam proses pengalihan dan pengeluaran.

Gambar menunjukkan jambatan sementara atau mataf yang sedang ditanggal sekali gus menyediakan ruang lebih luas untuk jemaah mengerjakan tawaf mengelilingi Kaabah apabila tiba musim haji. – Saudi Gazette
Gambar menunjukkan jambatan sementara atau mataf yang sedang ditanggal sekali gus menyediakan ruang lebih luas untuk jemaah mengerjakan tawaf mengelilingi Kaabah apabila tiba musim haji. – Saudi Gazette

Tambahnya jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat ke-25 pada hari Khamis dengan wakil-wakil daripada pelbagai agensi yang terlibat, termasuk Presiden Dua Masjid Suci, kementerian dalaman dan kewangan, Kumpulan Saudi Binladin dan perunding projek bagi mengkaji kemajuan kerja dengan tujuan untuk menyediakan lebih banyak ruang dalam Masjidil Haram bagi jemaah-jemaah.

“Keadaan di dalam Masjidil Haram telah berubah secara drastik dari tahun-tahun sebelumnya. Setiap tahun terdapat perubahan yang mensasarkan peningkatan bilangan jemaah di samping memastikan mereka merasa lebih selesa dan selamat, “katanya.

Wafa berkata dalam mesyuarat tetap dengan pihak-pihak berkenaan, jawatankuasa itu mensasarkan untuk mencapai tahap tertinggi koordinasi dengan mereka bagi kebajikan jemaah haji dan umrah.

Bagi pihaknya, Wail Al-Halabi, ahli jawatankuasa, berkata mesyuarat Khamis ini akan membincangkan ruang yang ada bagi kegunaan jemaah terutama pada bulan suci Ramadan, agar arahan pasukan keselamatan haji dapat merangka pelan operasi yang bertujuan untuk menambah baikkan layanan kepada jemaah dan pengunjung ke Masjidil Haram. – Saudi Gazette

ARTIKEL YANG SAMA