82 kes dicatatkan dalam Ops Tegas

82 kes dicatatkan dalam Ops Tegas

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Feb – Sebanyak 82 kes pelbagai kesalahan lalu lintas telah dicatatkan dalam operasi penguatkuasaan lalu lintas (sekatan jalan raya) senegara diberi nama kod Ops Tegas 5, yang dilancarkan oleh Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei, baru-baru ini.

Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei, operasi sekatan jalan raya pada 2 Februari lalu itu dilaksanakan di beberapa tempat yang dikenal pasti sering berlakunya kemalangan jalan raya di seluruh negara.

Daripada jumlah kes berkenaan, JSKLL mencatatkan 49 kes, Daerah Polis Brunei dan Muara lima kes di samping lima surat peringatan dikeluarkan, Daerah Polis Tutong sebanyak tujuh kes, Daerah Polis Belait sebanyak 17 kes dan lima surat peringatan serta satu kes dicatatkan oleh Daerah Polis Temburong.

Selain daripada itu, operasi bersepadu turut dilaksanakan bersama pegawai-pegawai penguat kuasa dari Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) yang telah merekodkan sebanyak tiga kes kesalahan lalu lintas.

Menurut kenyataan itu lagi, operasi yang diadakan ini merupakan kesinambungan daripada Ops Tegas 4 iaitu operasi penguatkuasaan lalu lintas yang telah dilancarkan pada 2015 yang memberikan penekanan terhadap kesalahan-kesalahan lalu lintas yang menjurus kepada kemalangan jalan raya dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan di negara ini terutama sekali kemalangan yang melibatkan kematian.

Operasi Sekatan jalan raya yang diadakan di Daerah Belait.
Operasi Sekatan jalan raya yang diadakan di Daerah Belait.

Selain itu, Ops Tegas 5 ini juga dimanfaatkan sepenuhnya dalam meningkatkan usaha mengurangkan kadar kesalahan jenayah di negara ini yang juga bermatlamat untuk tidak memberikan kesempatan atau tidak membenarkan mana-mana penjenayah yang menjadikan jalan raya di negara sebagai landasan untuk melakukan kegiatan jenayah.

Demi mencapai hasrat Pasukan Polis Diraja Brunei di dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini, JSKLL dengan sokongan daerah-daerah polis di negara ini akan sentiasa meningkatkan serta mempelbagaikan metodologi penguatkuasaan lalu lintas ini.

ARTIKEL YANG SAMA