822 anak yatim terima pemedulian

822 anak yatim terima pemedulian

Oleh Sim Y. H.

 

TUTONG, 8 Julai – Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang kira-kira seminggu lagi dan anak-anak yatim terus mendapat perhatian dan pemedulian supaya mereka dapat sama-sama menikmati perayaan yang bakal menjelang.

Sehubungan itu, seramai 822 orang anak yatim yang berusia 18 tahun ke bawah di Daerah Tutong menerima sumbangan derma di Majlis Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim Daerah Tutong yang berlangsung di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, hari ini.

Hadir untuk menyempurnakan penyampaian sumbangan derma kepada anak-anak yatim yang diraikan ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam dan turut dihadiri oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara.

Anak-anak yatim berkenaan yang berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat menerima sumbangan derma daripada Tabung Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Tabung Kebajikan Anak-Anak Yatim Daerah Tutong dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh penuntut Mahad Islam Brunei, Awang Amir Ifwat bin Haji Asmali dan tafsiran ayat oleh Awang Hasriyuddin bin Haji Yusof, guru Sekolah Ugama Sinaut, dan diteruskan dengan bacaan tahlil dan doa arwah yang dipimpin oleh Imam Balai Ibadat Kampung Sengkarai, Haji Deli bin Haji Raya.

Haji Adnan menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim Daerah Tutong yang diraikan di majlis berkenaan.
Haji Adnan menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim Daerah Tutong yang diraikan di majlis berkenaan.

pg03_150709_e

Kemudian, majlis menyaksikan penyampaian sumbangan derma dari Hua Ho Department Store berjumlah $5,000 kepada Tabung Kebajikan Anak-Anak Yatim Daerah Tutong yang disampaikan oleh wakilnya, Awang Lau Soon Lin kepada Haji Adnan.

Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah pelajar anak-anak yatim cemerlang Daerah Tutong dalam peperiksaan Penilaian Sijil rendah (PSR), Peperiksaan Sekolah Rendah Ugama bagi Daerah Tutong dan Peperiksaan GCE ‘O’ Level dan GCE ‘A’ Level pada 2014 kepada lapan orang penerima.

Para penerima berkenaan ialah Dayang Syasya Natasha binti Juni, Dayang Nur Syarah Basirah binti Yahya, Dayang Adi Nurhanani binti Mohd Ali, Dayangku Fatin Nabila binti Pengiran Kamaluddin, Dayang Vanessa Deba Anak Duwat, Dayang Mar Rohadatul ‘Aisy binti Umar@Marsyella, Dayang Mar Qurratul’Ain binti Umar dan Dayangku Nur Khalisah binti Pengiran Zamanulalam Omar Ali Mohamed oleh Haji Adnan.

Majlis kemudian menyaksikan Haji Adnan menyempurnakan penyampaian derma kepada seramai 822 orang anak yatim yang berusia 18 tahun ke bawah.

Sumbangan dengan itu dihasratkan bagi menampung perbelanjaan anak-anak yatim supaya mereka dapat sama-sama meraikan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.

ARTIKEL YANG SAMA