84 ditahan dalam 42 operasi judi di Sarawak

84 ditahan dalam 42 operasi judi di Sarawak

KUCHING, 10 Okt – Polis Sarawak menahan 84 orang kerana mempromosi loteri awam tanpa lesen, mengendalikan judi dalam talian, operasi mesin judi dan berjudi di tempat awam, dalam 42 serbuan di seluruh negeri sejak Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Datuk Dev Kumar M.M. Sree Shunmugam berkata 28 serbuan berkaitan dengan loteri nombor ekor, 12 pula berkaitan judi dalam talian dan mesin judi manakala dua lagi kerana berjudi di tempat awam.

Beliau berkata serbuan yang menyaksikan 84 orang ditahan termasuk 10 warga asing berumur di antara 17 hingga 54 tahun itu merupakan tangkapan tertinggi yang dibuat dalam tempoh seminggu bagi tahun ini.

“Enam puluh empat daripada yang ditahan adalah lelaki. Sejumlah RM15,801 wang tunai dirampas semasa serbuan dan juga pelbagai barangan seperti komputer, pencetak mudah alih, telefon bimbit, kalkulator, lejar dan slip pertaruhan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sepuluh daripada 42 serbuan tersebut diketuai oleh JSJ ibu pejabat di sini, lima oleh polis Miri; Padawan (empat), Kuching, Limbang dan Bau (tiga); Sibu, Serian, Bintulu dan Sarikei (dua); diikuti Sri Aman, Betong, Kapit, Marudi, Mukah dan Kota Samarahan (satu).

“Operasi membasmi perjudian ini akan berterusan di seluruh negeri. Dengan komitmen penuh Ketua Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor bagi membasmi aktiviti judi di sini, JSJ Negeri akan lebih kerap mengerahkan pasukan ke setiap daerah bagi membantu ketua polis daerah membuat serbuan,” katanya. – Bernama