85 pelajar khatam dirai

85 pelajar khatam dirai

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt – Seramai 85 orang pelajar Darjah 6 Sekolah Ugama Katok ‘A’ yang masing-masing telah berjaya mengkhatamkan bacaan 30 Juzuk Al-Quran telah diraikan dalam majlis khatam, baru-baru ini.

Majlis penuh berkebajikan itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai di bawah pimpinan Haji Sufri bin Bakar, disusuli dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam.

Selepas itu, Takhtim dibacakan beramai-ramai oleh murid-murid perempuan Darjah 4 dan 5 sekolah tersebut dan doa khatam kemudian dibacakan oleh wakil peserta khatam, Awang Mohammad Amani Fikri bin Haji Mohd Ja’afari.

Salah seorang peserta perempuan yang diraikan ketika menerima sijil khatam dan cenderahati daripada Dayang Jusita.
Salah seorang peserta perempuan yang diraikan ketika menerima sijil khatam dan cenderahati daripada Dayang Jusita.

Majlis kemudian diteruskan dengan Dikir Asyraqal oleh murid-murid lelaki Darjah 4 dan 5 yang serentak dengan itu para pelajar yang diraikan berjalan menuju ke arah Guru Besar SR Rimba 1, Dayang Jusita binti Haji Abdul Rahman yang telah bersedia untuk merenjis minyak wangi dan menyampaikan sijil khatam serta cenderahati kepada mereka.

Para peserta khatam kemudiannya berjalan melintasi para hadirin yang terdiri daripada para pegawai Jabatan Pengajian Islam, guru-guru besar, ketua guru, ibu bapa dan penjaga pelajar yang diraikan yang menabur bunga rampai kepada mereka.

Majlis ditutup dengan bacaan doa selamat oleh Haji Sufri selepas pengerusi majlis, Dayang Nurhasnah binti Haji Zainal menyampaikan cenderahati kepada Dayang Jusita.

ARTIKEL YANG SAMA