850 kes pelbagai kesalahan lalu lintas dicatat

850 kes pelbagai kesalahan lalu lintas dicatat

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun – Sebanyak 850 kes pelbagai kesalahan lalu lintas telah dicatatkan sepanjang bulan Mei, oleh Jabatan Siasatan dan Kawalan dan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei, menerusi operasi dan rondaan penguatkuasaan lalu lintas.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 778 dicatatkan dalam 30 operasi oleh JSKLL Gadong, manakala 72 kes (11 operasi) lagi dilaporkan JSKLL Cawangan Batu 3 Belait.

Berdasarkan laporan hasil penguatkuasaan lalu lintas yang dikeluarkan oleh JSKLL, hari ini, daripada jumlah kes berkenaan, 720 adalah kes kompaun dengan kesalahan memandu melebihi had laju mencatat jumlah tertinggi sebanyak 247 kes, dan 170 lagi adalah kes doket dengan kesalahan tertinggi adalah cukai jalan tamat tempoh.

JSKLL dalam kenyataannya, hari ini, turut mengongsikan statistik kemalangan jalan raya bagi bulan Mei, iaitu sebanyak 290 kes dengan Daerah Brunei dan Muara mencatat jumlah tertinggi sebanyak 199 kemalangan, diikuti Daerah Belait 59 kes, Daerah Tutong 31 kes dan Daerah Temburong mencatatkan satu kemalangan jalan raya.

Daripada jumlah berkenaan, satu kes adalah kemalangan yang melibatkan kematian iaitu kemalangan melibatkan kereta dan jentera berat di Daerah Brunei dan Muara.

Sementara itu, JKSLL turut mengongsikan bahawa sebanyak 238 kes pelbagai kesalahan lalu lintas dicatatkan dalam 10 operasi yang dijalankan sepanjang minggu pertama bulan ini (1 – 7 Jun), dengan 212 kes dicatatkan oleh JSKLL Gadong, dan 26 kes lagi oleh JSKLL Cawangan Batu 3 Belait.

Statistik kemalangan jalan raya bagi tempoh sama mencatatkan 38 kes, dengan 32 kes di Daerah Brunei dan Muara, dua di Daerah Tutong, tiga di Daerah Belait dan satu kemalangan dicatatkan di Daerah Temburong.

Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei menyeru para pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas di negara ini. Di samping itu, sentiasa meningkatkan keselamatan dan berhati-hati ketika berada di jalan raya terutama sekali dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati serta berwaspada dan mematuhi peraturan lalu lintas yang dikuatkuasakan bagi mengelakkan kemalangan.

ARTIKEL YANG SAMA