86% cuba berhenti merokok

86% cuba berhenti merokok

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Negara Brunei Darussalam terus memantapkan dan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan kawalan tembakau yang tidak hanya meliputi aspek seperti larangan pengiklanan, kawalan penggunaan produk tembakau, kawalan penjualan dan pembubuhan amaran kesihatan pada pembungkusan tembakau tetapi juga daripada segi pengimportan tembakau.

Semenjak Jun 2014, tidak ada pengimportan atau kedai-kedai runcit yang memperbaharui lesen pengimport, pemborong dan peniaga runcit bagi produk tembakau.

Di samping itu, larangan merokok di tempat-tempat awam dan kenderaan tertentu serta mempromosi kesedaran tentang risiko bahaya tembakau dan penyediaan perkhidmatan berhenti merokok turut dilaksanakan dalam usaha meningkatkan kesedaran dan mengurangkan jumlah perokok di Brunei.

Ini dinyatakan oleh Pengarah Umum, Kementerian Kesihatan, Dr Zainal Ariffin bin Haji Yahya ketika berucap di Majlis Pelancaran Aplikasi Mudah Alih Sihat Tanpa Rokok (STaR) Sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2015 yang berlangsung di Pusat Promosi Kesihatan, hari ini.

Pelancaran aplikasi berkenaan disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof.

Yang Berhormat Pehin melancarkan aplikasi STaR sambil diperhatikan oleh Dr Zainal Ariffin.
Yang Berhormat Pehin melancarkan aplikasi STaR sambil diperhatikan oleh Dr Zainal Ariffin.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Kawalan Tembakau, pegawai tugas-tugas khas kanan, timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Kesihatan, ketua-ketua jabatan, para pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.

Dr Zainal Ariffin berkata, Pusat Promosi Kesihatan telah menjalankan Kaji Selidik Tembakau Belia Sedunia (GYTS) pada 2013 dan Soal Selidik Tembakau bagi Tinjauan (TQS) pada 2014 bagi mendapatkan maklumat mengenai penggunaan tembakau dalam kalangan belia dan orang dewasa serta untuk memantau dan menilai langkah-langkah kawalan tembakau di Negara Brunei Darussalam.

Menurutnya, hasil kajian GYTS yang dijalankan pada Mei hingga Julai 2013 di 25 buah sekolah menengah kerajaan dan bukan kerajaan di seluruh negara yang melibatkan seramai 1,574 orang pelajar berumur di antara 13 hingga 15 tahun, mendapati sebanyak 8.5 peratus belia berusia 13 hingga 15 tahun adalah perokok dengan 13.4 peratus merupakan kalangan belia lelaki dan 3.4 peratus kalangan belia perempuan.

“Hampir 40 peratus belia terdedah kepada asap rokok pasif di rumah sendiri,” jelas Dr Zainal Ariffin, sambil menambah bahawa hasil dapatan kaji selidik GYTS 2013 ini juga menunjukkan bahawa segolongan besar belia yang merokok berkeinginan untuk berhenti merokok.

Menyentuh mengenai kajian TQS yang dijalankan pada Disember 2014 hingga Januari 2015 membabitkan seramai 1,294 responden, Dr Zainal Ariffin berkata sebanyak 97.3 peratus orang dewasa percaya merokok menyebabkan penyakit yang serius.

Namun begitu, keseluruhannya 18 peratus dalam kalangan orang dewasa adalah perokok dengan 32.6 peratus daripadanya dalam kalangan lelaki dewasa, 2.3 peratus kalangan perempuan dewasa.

“Empat dalam 10 orang dewasa yang bekerja di dalam bangunan terdedah kepada asap rokok pasif di tempat kerja, manakala itu, dua dalam 10 orang dewasa terdedah kepada asap rokok pasif di rumah.”

Dr Zainal Ariffin berkata, kaji selidik TQS 2014 juga menunjukkan bahawa 86.1 peratus daripada perokok dewasa telah cuba berhenti merokok dalam tempoh 12 bulan yang lalu.

Sehubungan itu, sebagai salah satu langkah untuk membantu perokok untuk berhenti merokok menyaksikan Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan membangunkan aplikasi telefon bimbit dikenali Sihat Tanpa Rokok (STaR) yang merupakan kaedah terkini bagi menyampaikan maklumat-maklumat mengenai merokok serta bantuan dan langkah-langkah untuk berhenti merokok secara mudah alih.

Sementara itu, menyentuh mengenai dengan tema Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2015, ‘Hentikan Perdagangan Haram Produk-produk Tembakau,’ Dr Zainal Ariffin berkata, menangani masalah berkenaan adalah amat penting kerana golongan belia dan kanak-kanak mampu mencuba untuk merokok kerana harga produk tembakau yang dijual secara haram selalunya lebih murah.

“Produk tembakau yang diseludup juga boleh mengelirukan pengguna tembakau kerana kebanyakannya tidak memaparkan amaran kesihatan dan kadang-kadang penyeludup atau penjual melibatkan kanak-kanak dalam aktiviti jualan haram.”

Beliau juga berkata produk-produk tembakau yang diseludup secara haram tidak membayar cukai dan perkara itu dengan sendirinya menjejaskan kutipan hasil cukai kerajaan, perdagangan haram produk tembakau boleh melibatkan kegiatan jenayah yang lain serta perdagangan haram produk tembakau menjejaskan program dan langkah kawalan tembakau.

ARTIKEL YANG SAMA