87 pelajar sertai kem U.M.A.T

87 pelajar sertai kem U.M.A.T

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Seramai 87 pelajar yang terpilih daripada sekolah-sekolah menengah di seluruh negara telah menghadiri Kem U.M.A.T. (Untukmu Amalkan Tia) anjuran Unit Kaunseling dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan.

Kem yang diadakan di Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas selama empat hari bermula hari ini hingga 15 Jun 2015, itu bertujuan meningkatkan kesedaran kendiri para pelajar mengenai kepentingan hadir ke sekolah secara konsisten.

Selain itu, penyertaan para pelajar juga diharap dapat meningkatkan kualiti diri untuk memikul tanggungjawab dalam memenuhi hasrat ke arah Aspirasi Wawasan 2035.

Majlis pembukaan kem berkenaan, hari ini, telah dihadiri oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Bahagian Korporat), Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Azis bin Haji Nayan, selaku tetamu kehormat.

Ketua Unit Kaunseling dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Ali Yusri bin Abdul Gafor dalam ucapannya selaku Pengerusi Majlis berkata, pelbagai perisian program diselenggarakan bersama kaunselor-kaunselor Kluster 1 hingga 6, antaranya ‘Lakas Tah’, ‘Ingau Tah’, ‘Memajal!’, ‘Mind-Setting Berakal Tah’ dan ‘Reframing Baiki Tia’.

Tetamu kehormat yang diiringi oleh Awang Ali Yusri beramah mesra dengan para peserta Kem U.M.A.T.
Tetamu kehormat yang diiringi oleh Awang Ali Yusri beramah mesra dengan para peserta Kem U.M.A.T.

Beliau sendiri mengendalikan ‘Aktiviti Recall’ yang memberikan bimbingan dan kesedaran tentang tanggungjawab anak-anak kepada ibu bapa serta mengenang kembali segala pengorbanan para ibu bapa dalam membesarkan anak-anak mereka.

Bagi menjayakan lagi kem tersebut, Unit Kaunseling dan Kerjaya turut mengundang pelbagai agensi seperti Pusat Promosi Kesihatan, Pasukan Polis Diraja Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Pusat Dakwah Islamiah.

ARTIKEL YANG SAMA