87 tamat Kem U.M.A.T

87 tamat Kem U.M.A.T

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Seramai 87 pelajar terdiri daripada sekolah-sekolah menengah di seluruh negara, hari ini, telah diraikan kejayaan mereka setelah menamatkan Kem U.M.A.T. (Untukmu Amalkan Tia) anjuran Unit Kaunseling dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan.

Hadir menyampaikan sijil di majlis penutup yang berlangsung di Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas itu ialah Pemangku Pengarah, Jabatan Sekolah-Sekolah, Awang Zaman bin Haji Gapar.

Awang Zaman dalam ucapannya, menyatakan program seperti ini akan dapat memberikan pelbagai manfaat kepada para pelajar yang telah menyertai kem ini dengan kemahiran-kemahiran serta pengetahuan yang diterima akan dapat diamalkan dan digunakan dalam kehidupan seharian.

Beliau juga berharap agar kem ini akan membawa impak positif kepada para pelajar. Manakala itu, Ketua Unit Kaunseling dan Kerjaya, Awang Ali Yusri bin Abdul Gafor dalam ucapannya selaku Pengerusi Majlis berkata kem yang diadakan di Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas selama empat hari bermula 12 hingga 15 Jun itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kendiri para pelajar mengenai kepentingan hadir ke sekolah secara konsisten.

Awang Zaman (kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta (kanan) sambil disaksikan oleh Awang Ali Yusri (tengah).
Awang Zaman (kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta (kanan) sambil disaksikan oleh Awang Ali Yusri (tengah).

Selain itu juga, ia akan dapat meningkatkan kualiti diri pelajar dalam menanai tanggungjawab mereka bagi membina kapasiti dan kualiti pendidikan di negara ini. Menurut beliau lagi, kumpulan sasaran adalah terdiri daripada pelajar Tahun 9 dan Tahun 10 bagi sekolah menengah, maktab kerajaan serta beberapa buah sekolah menengah swasta di negara ini, yang mana setiap sekolah telah mewakilkan tiga pelajar.

Salah seorang pelajar Sekolah Menengah Sayyidina Hussain yang menyertai kem berkenaan, Awangku Afiq Izudin bin Pengiran Abdul Mujid, mengatakan rata-rata para peserta merasa gembira kerana diberi peluang untuk mengikuti kempen tersebut dan ia memberikan kesedaran kepada para pelajar betapa pentingnya untuk sentiasa hadir ke sekolah.

Kem ini juga telah dijayakan bersama oleh pelbagai agensi seperti Pusat Promosi Kesihatan, Pasukan Polis Diraja Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Pusat Dakwah Islamiah.

ARTIKEL YANG SAMA